Motosikal

YAMAHA YZF-R9 LANCAR HUJUNG 2024, GANTI R6 DI WORLDSSP

Nampak gayanya khabar angin berkenaan dengan kemunculan Yamaha YZF-R9 semakin hangat apabila timbul desas-desus dari kem Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) bahawa model serba baharu itu akan muncul hujung tahun ini. 

Menariknya, terdapat perbincangan bahawa Yamaha YZF-R6 yang menjadi pertaruhan Yamaha di kempen Kejuaraan Dunia Supersport (WorldSSP) akan memasuki musim terakhirnya dan digantikan dengan YZF-R9 yang dikuasakan enjin CP3 sama terdapat pada MT-09 dan Tracer 9 GT. 

Untuk rekod, jentera 599cc R6 itu menang setiap musim sejak penyertaannya pada 2017 sehingga 2022 sebelum kecundang di tangan jentera 955cc Ducati Panigale V2 yang diterajui Nicolo Bulega pada 2023. 

Sejak 2022, kelas Supersport telah membenarkan jentera berkapasiti lebih besar untuk bersaing sekaligus menyaksikan penyertaan model seperti Panigale V2, Triumph Street Triple 765 RS dan MV Agusta F3 (800cc). 

Ini bermakna Yamaha R9 merupakan penyelesaian terbaik bagi pengeluar Jepun itu untuk kembali bersaing di WorldSSP. 

Bukan itu sahaja, enjin ‘cross-plane’ 890cc itu pastinya menghadirkan kelebihan berbanding enjin tiga silinder 765cc (Street Triple) tiga silinder 798cc (F3), empat silinder 600cc (CBR600RR, ZX-6R) dan dua silinder 955cc (Panigale V2). 

Bagaimanapun, untuk layak beraksi di WorldSSP, Yamaha terlebih dahulu perlu memperkenalkan R9 ke pasaran global. Ini bermakna sekiranya mahu menggantikan R6 pada musim 2025, R9 perlu dilancarkan selewatnya hujung tahun ini. 

Ketibaan R9 juga telah pun dijangka apabila Yamaha mempatenkan nama “R9” dan “YZF-R9” di Eropah, Jepun dan India serta beberapa pasaran lain. Senario itu merupakan petunjuk kepada kemunculan model itu tidak lama lagi.  

Google ads
Back to top button