
KENAPA PENGELUAR KERETA JEPUN SUKAKAN CVT?
Secara jujurnya ini adalah satu persoalan yang sedang bermain dalam kepala penulis semenjak beberapa hari lepas biarpun penulis sedang memandu uji sebuah jentera buatan Jerman dengan transmisi DSG 7 kelajuan. Dan pada ketika ini secara jujurnya penulis tiada jawapan yang tepat untuk persoalan di atas.
Buat masa ini hanya Mazda sahaja kekal menawarkan transmisi manual 6 kelajuan bagi model prestasi tinggi seperti Miata dan 6 kelajuan automatik bagi kebanyakan model yang dijual untuk kegunaan biasa. Malah Mazda juga membangunkan transmisi 8 kelajuan automatik bagi kegunaan SUV terbaru mereka
Honda, Toyota, Nissan, Mitsubishi, Subaru, Daihatsu dan Suzuki pula memilih untuk menggunakan transmisi CVT bagi kenderaan yang dijual untuk kegunaan ramai dimana pembeli biasa akan membeli untuk kegunaan harian.
Bagi kegunaan untuk tujuan yang lebih lasak dan dengan DNA perlumbaan atau prestasi tinggi, Toyota menawarkan transmisi manual bagi GR Yaris, GR Corolla, GR Supra dan GR86. Tapi pada masa yang sama GR86 dan GR Supra turut menawarkan transmisi 6 kelajuan dan 8 kelajuan automatik. Bagi kes GR Supra, transmisi 8 kelajuannya dibekalkan oleh ZF Transmission
Lebih menarik lagi kalau kita lihat barisan model yang ditawarkan oleh pengeluar dari Eropah atau Continental seperti Peugeot, Audi, BMW, Mercedes Benz atau Volkswagen yang pada hari ini langsung tidak menawarkan transmisi automatik daripada jenis CVT.
Pengeluar ini hanya menawarkan transmisi 6 kelajuan automatik, 8 kelajuan automatik atau transmisi DSG samaada 7 atau 8 ratio. Ya pada satu ketika dulu Audi pernah menawarkan CVT yang dikenali dengan nama Multitronic sebelum digantikan dengan transmisi DSG
Bagi pasaran Amerika, pengguna di sana lebih menggemari transmisi automatik konvensional dengan tork converter menyebabkan Mazda memilih untuk mengekalkan transmisi ini untuk kenderaan mereka kerana pasaran terbesar Mazda ialah Amerika.
Bagi pasaran Jepun, terdapat 3 syarikat pengeluar yang boleh membekalkan transmisi dan menghasilkan CVT untuk pasaran Jepun dan global. Antaranya ialah Aisin (25% saham dipegang oleh Toyota), JATCO (75% saham dipegang oleh Nissan), dan Akashi Kikai (Daihatsu 39% dan Perodua 10%).
Antara beberapa sebab kenapa CVT digemari oleh pengeluar kenderaan Jepun termasuklah:
1. Jepun bukan pengeluar petroleum – Jepun adalah pengguna petroleum ke empat terbesar di dunia dengan mengimport sekitar 2.7 juta tong minyak mentah sehari. Sudah tentu pengeluar kereta di Jepun berusaha mengeluarkan kereta yang jimat petrol dan salah satu cara yang mudah ialah dengan menggunakan CVT dan digandingkan dengan kei car yang bersaiz kecil
2. Keadaan muka bumi – kepulauan Jepun terbentuk daripada aktiviti gunung berapi, menghasilkan permukaan yang bergunung ganang dan perlu dilalui oleh kenderaan buatan Jepun melalui jalan yang berselekoh. Bagi memastikan enjin kecil mereka boleh melalui jalan ini dengan mudah, CVT dipilih kerana ia boleh beroperasi pada julat RPM yang optimum untuk menghasilkan kuasa dan penjimatan bahan api.
3. Pengguna Jepun suka pecutan lancar – hanya CVT boleh menghasilkan pecutan lancar sepanjang masa tanpa mengalami power loss (gear manual ada masalah ini ketika pertukaran gear dibuat) dan pada masa yang sama tidak menyebabkan sentapan berlaku (gear manual dan DSG ada masalah ini ketika mula-mula memecut).
4. Lebih berdisiplin – kebanyakan pemandu di Jepun adalah berdisiplin, memandu mengikut halaju yang ditetapkan dan jarang sekali memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Keadaan ini adalah sesuai dengan nature operasi CVT dimana transmisi ini beroperasi dengan cemerlang pada halaju perlahan, merayap di kesesakan jalan raya dan pada kelajuan pertengahan.
Bagi pemandu di negara ini, mereka boleh melenjan 180km/jam dari Bukit Kayu Hitam sampai la ke Tol Skudai tanpa henti, memberikan bebanan yang berlebihan kepada sistem CVT, memendekkan jangka hayat serta menyebabkan kerosakan.
5. Ada model khusus untuk pandu laju – bagi peminat yang sukakan kelajuan, pengeluar kenderaan akan menghasilkan model istimewa yang hanya dipadankan dengan transmisi manual 6 kelajuan ataupun automatik 8 kelajuan yang lebih lasak dan sesuai untuk dibelasah tanpa belas kasihan seperti GR Corolla, Civic Type R dan Suzuki Swift Sport.
Keadaan ini menunjukkan mengapa pengguna di Jepun sangat menggemari transmisi CVT dan kebanyakan pengeluar menghadkan CVT untuk kegunaan kereta biasa kecuali Subaru yang tetap menghasilkan model WRX yang dilengkapi dengan CVT.
Walaubagaimanapun Subaru tidak menamakan transmisi ini sebagai CVT, sebaliknya menjenamakannya sebagai Subaru Performance Transmission atau SPT.


