
KENAPA SEMUA BAS BARU PASANG ENJIN DI BELAKANG CESI?
Sekiranya anda peminat kenderaan berat seperti bas, anda akan perasan yang satu ketika dulu bas sekolah datang dengan rekaan unik iaitu enjin bas akan dipasang di bahagian depan seperti di sebelah pemandu
Namun bagi bas moden hari ini, rekaan tersebut telah berubah dengan komponen enjin dan transmisi diposisikan di bahagian belakang sepenuhnya walaupun masih lagi menggunakan cesi ladder frame yang sama
Rekaan enjin di belakang gandar belakang ini sebenarnya mengingatkan kita kepada jenama Porsche 911 yang gemar meletakkan enjin di belakang cesi bagi tujuan pengendalian. Namun bagi kenderaan komersial seperti bas, tujuan pemasangan enjin di bahagian belakang ini adalah berbeza.
Antara sebab enjin bas moden dipasang di bahagian belakang adalah:
1. Ruang yang maksimum – apabila enjin dan unit trenkuasa dipasang di bahagian belakang, syarikat bas boleh menghasilkan ruang yang maksimum untuk membawa penumpang dalam satu masa beserta dengan bagasi
Bahagian yang dikosongkan oleh gear dan propeller shaft boleh digunakan untuk memuatkan bagasi penumpang bagi perjalanan yang lebih jauh. Bagi bas dalam bandar, ruang ini boleh memuatkan penumpang untuk berdiri bagi perjalanan jarak dekat
Semakin banyak penumpang, semakin banyak keuntungan yang boleh dijana dari satu perjalanan setiap masa.
2. Mudah untuk keluar masuk – ketiadaan enjin dan gear di bahagian depan juga membolehkan lantai bas direka dengan lebih rendah bagi memudahkan penumpang keluar masuk.
Lantai yang rata juga membenarkan pergerakan penumpang yang lebih lancar terutama sewaktu kecemasan dan menjadikan warga emas lebih mudah untuk menggunakan pengangkutan awam
3. Lebih selamat – syarikat pemasangan bas boleh memasang cermin depan yang lebih besar untuk pemandu bagi memberikan jarak penglihatan yang lebih baik dan mengurangkan masalah titik buta
Pemandu pula boleh berada di bahagian depan bagi memudahkan pengendalian bas terutama ketika melalui jalanraya yang sempit di kawasan bandar. Berat enjin di bahagian belakang juga membenarkan tayar bas mendapat cengkaman yang lebih baik di permukaan jalan yang licin
4. Lebih senyap – ruang enjin berada jauh di bahagian belakang dan diberikan kedapan bunyi yang lebih baik, menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada pemandu dan juga penumpang
Mungkin penumpang belakang akan tetap mendengar bunyi deruman enjin diesel, namun jika dibanding dengan enjin yang berada di bahagian depan, bunyi dan getaran enjin bas moden yang berada di belakang adalah jauh lebih senyap berbanding dengan bas lama dengan enjin di depan
5. Lebih efisyen – selain kecekapan ruang, enjin bas yang berada di belakg adalah jauh lebih efisyen berbanding enjin yang berada di depan. Enjin bas di belakang tidak perlu menggunakan propeller shaft yang akan menyebabkan kehilangan tenaga dari enjin untuk sampai ke roda.
Bagi memastikan enjin ini efisyen, sistem penyejukan enjin dan sistem ambil udara rtelah direka supaya ia dapat beroperasi dengan lebih baik.