
DAYS OF THUNDER 2 KEMBALI LEPAS 40 TAHUN.
Selepas hampir empat dekad, peminat filem perlumbaan akhirnya bakal menyaksikan kepulangan Days of Thunder selepas Tom Cruise mengesahkan bahawa sekuel kepada filem ikonik berlatarkan dunia NASCAR itu sedang dibangunkan dan dijadualkan menemui penonton di pawagam pada musim panas 2028.
Pada masa sama Tom Cruise akan kembali membawa watak Cole Trickle, iaitu pelumba NASCAR yang dilakonkannya dalam filem asal yang diterbitkan pada 1990. Kehadiran semula watak tersebut menjadikan projek ini antara sekuel paling dinantikan oleh peminat filem automotif dan perlumbaan.
Days of Thunder asal mengisahkan Cole Trickle, seorang pelumba muda yang berusaha membina nama dalam dunia NASCAR. Filem tersebut turut menampilkan Nicole Kidman, Robert Duvall dan Randy Quaid, selain menggunakan elemen sebenar daripada dunia perlumbaan NASCAR untuk menghasilkan aksi yang lebih realistik.
Untuk filem baharu ini, Cruise akan bergandingan dengan Anne Hathaway. Hathaway dilaporkan akan memainkan watak seorang pemilik pasukan perlumbaan yang juga mempunyai latar belakang sebagai jurutera. Kehadiran watak baharu ini dijangka memberikan dimensi berbeza kepada jalan cerita berbanding filem asal.
Pengarah Days of Thunder 2 ialah Jonathan Levine, manakala skrip ditulis oleh Will Staples. Tom Cruise, Jerry Bruckheimer dan Tommy Harper pula terlibat sebagai penerbit untuk projek tersebut.
Cruise turut mahu memastikan filem baharu ini bukan sekadar memaparkan perlumbaan kereta. Sebaliknya, filem berkenaan akan mengetengahkan budaya NASCAR, kehidupan komuniti perlumbaan, hubungan antara anggota pasukan serta risiko dan bahaya yang datang bersama sukan berkelajuan tinggi itu.
Pengumuman mengenai filem tersebut dibuat di Daytona International Speedway, salah satu lokasi paling bersejarah dalam dunia NASCAR. Pemilihan lokasi itu juga mempunyai nilai simbolik kerana Daytona mempunyai kaitan rapat dengan dunia perlumbaan yang menjadi latar utama Days of Thunder.
Filem berkenaan dijadualkan ditayangkan pada 2 Jun 2028 dan akan hadir dalam format pawagam premium termasuk IMAX. Dengan Tom Cruise kembali sebagai Cole Trickle, filem ini turut dilihat mempunyai potensi mengulangi formula kejayaan Top Gun: Maverick, yang membawa semula watak ikonik selepas beberapa dekad dan memperkenalkannya kepada generasi penonton baharu.
Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, Days of Thunder 2 akan menjadi kemunculan semula Cole Trickle selepas 38 tahun. Kali terakhir penonton melihat watak tersebut ialah pada 1990, dan kini Cruise bersedia kembali ke dunia NASCAR untuk sekali lagi mengejar kelajuan, persaingan serta kemenangan di litar.





