Artikel Pilihan

KENAPA X50 DAN ATIVA TIADA VARIAN AWD? ADAKAH INI KONSPIRASI ILUMINATI?

Proton X50 atau Geely Binray ditawarkan dalam AWD untuk negara China namun apabila tiba di Malaysia, tiada satu pun varian AWD ditawarkan. Sama juga seperti Perodua Ativa dan Toyota RAV-4, tiada varian AWD ditawarkan. Hanya Honda CR-V menawarkan ciri AWD bagi varian tertinggi mereka. Ketika mula-mula dilancarkan dulu, Proton X70 juga turut menawarkan varian AWD. Tapi sebaik sahaja transmisi baru 7 kelajuan DCT diperkenalkan, varian AWD tidak lagi ditawarkan kepada pembeli

Jadi adakah ini agenda Iluminati bagi menghalang pemandu Malaysia mendapat varian AWD bagi crossover dan juga SUV yang ditawarkan di sini? Sejarah AWD bagi model Subaru sebenarnya bermula sudah lama apabila Subaru (Fuji Heavy Industries) satu ketika dulu memiliki beberapa perniagaan lain termasuk loji penjanaan kuasa elektrik. Kakitangan Subaru ketika itu menggunakan Toyota Land Cruiser untuk sampai ke loji mereka dengan menggunakan jalan yang teruk

Walaupun boleh sampai, namun Land Cruiser tidak sedap dipandu memandangkan ia menggunakan cesi ladder frame. Subaru mahukan satu sistem pacuan semua roda yang menggunakan cesi monocoque. Jadi Subaru membangunkan sendiri kenderaan mereka yang menggunakan cesi monocoque dan sistem pacuan semua roda AWD untuk kegunaan kakitangan mereka. Pada mulanya teknologi ini hanya untuk kegunaan mereka namun ia mula dipasang dan dijual pada kereta Subaru.

Dan sejarah membuktikan sistem AWD Subaru sentiasa berentap dengan Mitsubishi Evolution dalam arena perlumbaaan rali antarabangsa. Jadi mari kita semak apa kelebihan menggunakan sistem AWD ini.

1. Lebih cengkaman dalam keadaan licin- di permukaan licin seperti jalan bersalji, berlumpur atau jalan basah kereta AWD mendapat cengkaman yang lebih bagus berbanding kereta pacuan 2 roda. Kereta biasa mudah mengalami tayar tergelincir jika pecutan dibuat dengan terlalu cepat dan menyebabkan kereta hilang kawalan

2. Penghantaran kuasa lebih baik – kalau anda perasan, kebanyakan kereta supercar atau prestasi tinggi gemar menggunakan sistem AWD ini disebabkan kemampuan sistem ini menghantar kuasa enjin terutama tork yang tinggi dengan sangat efisyen berbanding sistem RWD atau FWD. Cengkaman tambahan yang dihasilkan membantu kereta AWD mendapat pecutan yang lebih baik

Kalau kita buat perlumbaan drag antara kereta AWD dengan RWD/FWD, maka kereta AWD akan memecut dengan pantas dengan andaian kedua dua kereta memiliki kuasa kuda dan tork yang hampir sama

Keburukan Sistem AWD

1. Sistem menjadi rumit – kereta AWD memerlukan komponen tambahan seperti Center Differential yang perlu dipasang pada bahagian tengah kereta dan satu lagi propeller shaft perlu dipasang bagi menghantar kuasa ke tayar belakang. Ini akan menyebabkan sistem kereta menjadi semakin kompleks dan ia perlu diservis mengikut sela masa yang ditetapkan

2. Penggunaan Petrol – pada masa yang sama berat kereta akan bertambah menyebabkan penggunaan petrol semakin meningkat. Tambahan pula parasitic load pada sistem AWD menyebabkan enjin perlu bekerja keras bagi menghantar semua kuasa pada tayar. Namun bagi sesetengah model, ia hadir dengan sistem AWD pintar yang hanya akan diaktifkan ketika diperlukan sahaja. Jika tidak diaktifkan, kereta tersebut beroperasi dengan sistem FWD dengan semua kuasa dihantar ke tayar depan.

3. Pemandu jadi overconfident – atau terlebih yakin disebabkan meraka rasa sistem AWD ini menjadikan kereta mereka semakin laju di selekoh. Ya betul sistem AWD ada kelebihan dalam keadaan jalan licin, tapi pretasi kereta AWD sama sahaja ketika selekoh ataupun berhenti dalam jalan licin. Jika pemandu rasa terlebih yakin, mereka akan terus memandu laju dalam cuaca hujan kerana beranggapan ia boleh mengambil selekoh dengan laju dan berhenti dengan cepat

Dalam isu ini, beberapa kajian yang dijalankan di luar negara membuktikan jika anda perlu memandu di kawasan bersalji adalah lebih baik anda menggunakan tayar musim sejuk (snow tyre/winter tyre) yang dihasilkan dengan getah yang lebih lembut. Tayar ini memberikan cengkaman yang lebih baik pada kereta FWD dan jarak pemberhentian kereta adalah lebih pendek berbanding kereta AWD yang menggunakan tayar All Wheather.

Malaysia selalu hujan. Adakah lebih baik memandu dengan kereta AWD? – Isu yang cuba diketengahkan ialah adakah menggunakan kereta AWD akan mengurangkan risiko terjadi fenomena aquaplaning ketika memandu. Seperti yang kami ulas sebelum ini, aquaplaning selalu terjadi pada kereta yang dipandu laju ketika hujan. Tayar gagal menyuraikan air keluar dari tayar dan menyebabkannya terapung, jadi kereta hilang kawalan.

Sama seperti video di atas, kami berpendapat menggunakan tayar berkualiti tinggi khusus untuk menyuraikan air ketika memandu serta memandu dengan berhemah ketika hujan mampu mengelakkan berlakunya fenomena aquaplaning walaupun anda menggunakan sistem FWD atau RWD sahaja.

Dari segi jualan, ketika Proton X70 AWD dilancarkan dulu hanya 4% sahaja pengguna memilih varian AWD menyebabkan Proton memutuskan untuk tidak meneruskan jualan varian berkenaan selepas Proton X70 dinaiktaraf dengan gear 7 kelajuan DCT. Tapi jika anda selalu memandu di kawasan mencabar dengan jalan licin, anda masih boleh memilih Subaru Forester, Honda CR-V dan juga Nissan X-Trail dengan sistem AWD.

Tapi kalau untuk memasuki laluan balak dengan jalan yang sangat teruk, adalah jauh lebih baik anda menggunakan Toyota Hilux, Nissan Navara, Mitsubishi Triton atau Ford Ranger dengan sistem 4×4 lengkap dengan transfer case.

Google ads
Back to top button