Buletin

KENDERAAN HIDROGEN TIDAK MEYAKINKAN? LORI HYUNDAI XCIENT DIPANDU 10 JUTA KM!

Kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV) sudah lama diuji dan telah ditawarkan kepada pengguna melalui Honda Clarity dan Toyota Mirai.

Kedua-dua jenama turut mempergiatkan tawaran melalui CRV e:FCEV dan Crown FCEV. Selain dua jenama tersebut, Hyundai juga mempunyai wakil melalui Tucson FCEV atau ix35 FCEV dan Nexo.

Bukan hanya kereta penumpang, Hyundai hadir dengan lori hidrogen iaitu XCIENT Fuel Cell dan telah jauh mengembara di Switzerland.

Bagi menangani tanggapan dan menonjolkan teknologi hidrogen, penggunaan FCEV sebagai kenderaan komersial dilihat bersesuaian kerana mempunyai jadual perjalanan dan destinasi yang berulang-ulang.

Berdasarkan rutin tersebut, pihak yang terlibat boleh membina pusat pengisian hidrogen.

Operasi pengangkutan XCIENT di Switzerland telah pun bermula sejak Oktober 2020.

Tahukah anda berapa jarak pemanduan yang dicatat di sana? Dicampur semua, lebih 10 juta kilometer (km)!

Terdapat 48 lori XCIENT berada di dalam operasi di Switzerland sekarang ini.

Lori XCIENT dikuasakan dua sistem sel bahan api 90 kilowatt (kW) atau 180 kW dan motor elektrik 350 kW. Jarak pemanduan lebih 400 kilometer (km).

Penggunaan hidrogen (dan oksigen) bermakna pelepasan emisi turun ketara. Sebagai perbandingan, lori dengan enjin diesel dengan jarak pemanduan 10 juta km melepaskan 6,300 tan karbon dioksida.

Pelepasan karbon dioksida adalah faktor mengapa kenderaan elektrik (EV) diberi keutamaan sekarang ini.

Kesemua lori XCIENT yang beroperasi di Switzerland hanya menggunakan hidrogen hijau dan tiada karbon dilepaskan semasa proses pengeluaran dan mewujudkan rantaian nilai hidrogen mesra alam di Eropah.

Selain EV, industri juga sedang memberi perhatian kepada agenda neutral karbon supaya penjagaan alam sekitar lebih menyeluruh berbanding ditumpukan kepada kenderaan sahaja.

Pencapaian di Switzerland turut memainkan peranan penting di dalam kemajuan teknologi sistem bahan api hidrogen.

Dengan menganalisa data perjalanan, penggunaan hidrogen dan prestasi tindan (stack) bahan api, Hyundai mahu menambah baik teknologi dan menggunakannya pada pelbagai jenis kenderaan.

Hyundai bukan sahaja membekalkan lori XCIENT, tetapi juga memainkan peranan dalam pengwujudan ekosistem hidrogen komersial.

Hyundai terlibat di dalam keseluruhan rantaian nilai pengeluaran, kemudahan pengecasan dan penggunaan hidrogen.

Pada 2020 Hyundai melancarkan HTWO sebagai jenama kepada sistem sel bahan api hidrogen dan baru-baru ini mengumumkan peluasan peranannya.

HTWO kini berfungsi sebagai payung atau jenama besar untuk keseluruhan perniagaan rantaian nilai hidrogen Hyundai Group merangkumi pengeluaran sehingga simpanan, pengangkutan dan penggunaan.

Langkah ini dijangka dapat mempercepatkan peralihan ke arah masyarakat hidrogen.

Tidak hanya Switzerland, lori XCIENT Fuel Cell diguna di Amerika Syarikat, Jerman, Belanda, New Zealand, Korea, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Google ads
Back to top button