Buletin

KERAJAAN UTAMAKAN PROTON, BUKAN VELLFIRE

Kerajaan dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan pemilihan vendor baru untuk membekalkan kenderaan kepada kakitangan kerajaan.

Toyota Vellfire 2015

Lapan syarikat sudah mengemukakan Permintaan bagi Cadangan (RFP) untuk menguruskan kumpulan kenderaan kerajaan dan ia sudah melalui beberapa peringkat penilaian termasuk penilaian teknikal dan penilaian komersial.

Ketua Setiausaha Perbendaraan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, proses rundingan dilaksanakan bersama pembida yang berjaya untuk memuktamadkan konsesi itu dan keutamaan akan diberikan kepada kereta Proton bagi kegunaan menteri serta timbalan menteri dan bukan Toyota Vellfire seperti yang digembar-gemburkan.

“Jawatankuasa penilaian tender yang dianggotai oleh penjawat awam kanan daripada pelbagai agensi terbabit sebagai penilai termasuk Jabatan Kerja Raya, Unit Perancang Ekonomi (kini dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta serta Kementerian Kewangan sebagai peneraju utama, seterusnya memilih pembida yang layak untuk dipertimbangkan sebagai syarikat konsesi baharu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, susulan itu keputusan jawatankuasa penilaian tender dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.

Sejak 30 Oktober 1993, konsesi kumpulan kenderaan kerajaan Malaysia sudah diuruskan oleh Spanco Sdn Bhd (Spanco) berdasarkan Perjanjian Konsesi di antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat berkenaan.

Perjanjian itu sudah tamat pada 31 Disember 2018.

Dengan demikian, Ahmad Badri berkata, bagi menguruskan kumpulan kenderaan kerajaan masa hadapan, kerajaan memutuskan supaya syarikat konsesi dipilih secara RFP yang dilaksanakan secara terbuka.

“Dengan kata lain tidak ada tender terhad atau pemberian tender secara terus diamalkan,” katanya.

KREDIT: HARIAN METRO

Google ads
Back to top button