Artikel Pilihan

KOS SERVIS: BEZZA VS SAGA

Dalam artikel sebelum ini, kami menyiapkan artikel berkenaan pandu uji Bezza dan Saga, iaitu sedan segmen A paling mampu milik bagi pasaran Malaysia. Walaupun mampu bayar ansuran bulanan, anda perlu mengkaji perbezaan kos service bagi kedua dua model ini sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Ya selain bayaran bulanan, anda perlu membayar cukai jalan, premium insurans, petrol dan juga kos servis (tayar, bateri dan servis berkala). Jadi kami telah membuat sedikit kajian berkenaan kos servis bagi kedua dua model popular untuk pembaca Mekanika.

Minyak Pelincir.

Bezza dan Saga menggunakan minyak enjin yang diformulasikan oleh Petronas. Namun bagi Perodua, hanya satu spesifikasi sahaja yang disediakan iaitu minyak sintetik penuh dengan kelikatan 0W-20 dalam botol 4 liter. Harga yang ditawarkan ialah RM 162 sebotol.

Proton pula menggunakan Petronas Syntium SE (Service at Edar) yang dikeluarkan dalam 3 spesifikasi iaitu minyak mineral Petronas Syntium 500 SE 15W-40, semi sintetik Petronas Syntium 800 SE 10W-30 dan sintetik penuh Petronas Syntium 3000 SE 5W-30. Berdasarkan laman sesawang Proton, harga yang dicadangkan bagi Petronas Syntium 800 ialah RM 104.83

Minyak enjin Perodua dan Proton boleh digunakan sehingga 10,000km sebelum perlu diservis semula

Service Berkala

Laman sesawang Proton menyediakan maklumat servis sehingga 150,000km. Namun laman sesawang Perodua hanya menyediakan maklumat sehingga 100,000km sahaja. Berdasarkan pengalaman pemilikan penulis, pada perbatuan 110,000km keperluan servis kereta perodua sama seperti 10,000km. Tali sawat pemasaan Saga perlu ditukar pada perbatuan 110,000km.

Jadi untuk adil, jadual servis Bezza dan Saga akan dibandingkan sehingga perbatuan 110,000km. Kos ini tidak termasuk kos-kos luar jangka dan kelusuhan komponen yang lain. Bagi Perodua, mereka turut menyediakan maklumat kos servis tambahan bagi tujuan Preventive Maintainance.

Kos Servis Saga

Proton tidak mengenakan cas upah bagi servis sehingga perbatuan 20,000km. Ini menerangkan mengapa kos servis Saga adalah murah untuk 3 kali servis pertama. Paling mahal ialah pada kilometer 60,000km dan juga 110,000km mengikut jadual.

Pada 60,000km pemilik perlu membuat servis menukar palam pencucuh, penapis petrol, dan juga minyak gear. Harga minyak gear yang baru ialah RM 220.08 tidak termasuk upah. Pada 110,000km, pemilik perlu menukar tali sawat pemasaan yang berharga RM334,68. Tak mahal sangat seperti yang digembar-gemburkan.

Penapis udara perlu ditukar setiap 20,000km dengan harga RM 17.77. Set palam pencucuh yang berharga RM 51 perlu ditukar setiap 30,000km. Penapis petrol juga perlu ditukar setiap 30,000km pada harga RM 27.57. Secara keseluruhan kos servis Saga sehingga 110,000km dianggarkan sekitar RM 3642.56.

Kos Servis Bezza

Berbeza dengan Saga, Bezza tidak memerlukan servis pertama pada 1000km. Bezza hanya perlu diservis pada kali pertama pada 10,000km dengan kos buruh percuma menjadikan kos pertama sekitar RM 177.7. Kos servis Bezza akan menjadi mahal pada 40,000km dan 80,000km.

Ketika ini minyak gear, minyak brek, cecair penyejuk radiator dan penapis udara perlu ditukar. Pada 100,000 km, pemilik perlu menukar palam pencucuh pada harga RM 220.40 bagi setiap set. Minyak gear pula berharga RM 107.70. Cecair penyejuk pula berharga RM 25.80. Cuma penapis udara sahaja mahal iaitu RM 103.20 bagi setiap unit.

Pada masa yang sama, Perodua turut menyediakan servis pencegahan kerosakan seperti jadual di atas pada kilometer tertentu merangkumi servis penyaman udara, tayar dan minyak brek secara pilihan kepada pengguna.

Kos servis keseluruhan bagi Perodua Bezza ialah RM 3362.83 jika tidak termasuk kos service pencegahan iaitu kurang RM 279.73 berbanding dengan Saga. Jika dikira dengan kos servis pencegahan, maka ia akan melonjak kepada RM 4407.83. Walaubagaimanapun ia tertakluk kepada pengguna samada untuk melakukan servis pencegahan atapun tidak.

Kos Lain.

Bezza dan Saga menggunakan bateri biasa dan boleh digantikan dengan pilihan bateri air atau bateri bebas penyelenggaraan. Harga yang dijual biasanya dalam anggaran RM 160 ke RM 220 bergantung pada jenama dan jenis. Bagi bateri Bezza AV yang datang dengan teknologi Start-Stop, kos bateri adalah lebih mahal.

Saiz tayar Saga adalah 185/55 R15 dan berdasarkan pengalaman penulis ia dalam anggaran RM 150-200 bergantung pada jenama. Bezza pula menggunakan saiz 175/55 R15 dan setakat ini penulis tiada pengalaman dengan tayar saiz ini. Namun kami percaya harganya dalam lingkungan yang sama dengan Saga.

Bagi Saga, anda boleh semak kos servis di SINI. Manakala kos servis Bezza boleh dirujuk di SINI

Tags
Google ads
Back to top button