Artikel Pilihan

PENGARAH & KAKITANGAN AIRASIA DILAPOR TERIMA RASUAH RM204 JUTA DARI AIRBUS

Pengarah-pengarah dan/atau kakitangan syarikat tambang murah terkenal AirAsia Group Bhd (AAGB) dan ArAsia X Bhd dikatakan telah menerima suapan bernilai USD50 juta (RM204 juta) dari syarikat pengeluar pesawat Airbus SE, berdasarkan dokumen mahkamah sebagaimana dilaporkan FokusM dan beberapa laman media lain.

Laporan pihak pendakwaraya British menyatakan, Airbus turut membayar sejumlah tajaan kepada pasukan bolasepak yang dimiliki bersama oleh dua orang eksekutif AirAsia dari Malaysia. Airbus juga dituduh membuat pembayaran untuk memastikan tempahan 180 unit pesawat berjaya diperolehi.

Dokumen terbabit turut menyebut yang pihak Airbus turut ingin membuat pembayaran tambahan USD55 juta kepada pengarah dan kakitangan AirAsia dan AirAsiaX tetapi gagal berbuat demikian kerana sebab-sebab tertentu.

Perenggan 39 dan 40 dokumen terbabit antara lain menyatakan:

Tuduhan rasuah pertama berlaku sekitar 1 Julai 2011 dan 1 Jun 2015, di mana pihak Airbus SE gagal menghalang wakil mereka dari merasuah pihak lain untuk pembelian pesawat untuk kegunaan AirAsia dan AirAsiaX dari Airbus. Rasuah berkenaan adalah bertujuan untuk memeterikan perjanjian pesanan pembelian pesawat dari Airbus dan bertujuan mendapatkan kelebihan dalam saingan perniagaan.

AirAsia dan AirAsiaX merupakan dua syarikat penerbangan ternama di Asia Tenggara, berpangkalan di Kuala Lumpur dan merupakan pelanggan penting Airbus pada masa tersebut. Sekitar Oktober 2005 dan November 2014 pula, AirAsia dan AirAsiaX menempah 406 unit pesawat dari Airbus termasuklah 180 unit yang membabitkan pembayaran yang meragukan dibuat oleh EADS France SAS (yang kemudiannya dikenali sebagai Airbus Group SAS). Jumlah bayaran kepada kedua syarikat penerbangan terbabit ialah USD50 juta dan tambahan lagi USD55juta sebagai bayaran tajaan kepada kelab sukan yang dimiliki oleh Eksekutif AirAsia 1 dan Eksekutif AirAsia 2. Ia bagaimanapun tidak berkaitan dengan AirAsia dan AirAsia X.

Berdasarkan laporan The Wall Street Journal bertarikh 31 Januari lalu, Airbus bersetuju membuat pembayaran USD4 billion untuk menyelesaikan pertuduhan rasuah kepada pasukan pendakwaan dari AS, UK dan Perancis terhadap syarikat pengeluar pesawat terbabit.

Airbus turut mendedahkan maklumat kewangan dan dikatakan sebagai jumlah terbesar yang pernah dibayar mereka sebagai penyelesaian kepada beberapa pertuduhan rasuah daripada 3 negara.

Dokumen dari Mahkamah Tinggi UK itu turut menyebut yang Airbus telah membuat beberapa pembayaran haram untuk mendapatkan kontrak pembekalan pesawat dan produk mereka kepada para pelanggan.  

Google ads
Back to top button