Artikel Pilihan

MERCEDES PERKENALKAN WALLBOX MUDAH ALIH – MUDAHKAN PEMILIK EV BUAT PERJALANAN JAUH

Mercedes cadang permudahkan urusan cas semula EV dengan menggunakan Flexible Charging System Pro. Ia direka supaya menjadi wallbox mudah alih dan akan menjadikan urusan pengecasan menjadi lebih mudah sebaik sahaja dihubungkan dengan kereta dan punca kuasa.

Sistem ini sesuai digunakan untuk kebanyakan soket elektrik negara Eropah buat masa sekarang dan boleh memberi kuasa pengecasan 22 kW berdasarkan infrastruktur yang disediakan. Ia bukan hanya boleh dipasang di garaj pemilik EV seperti wallbox biasa dan boleh dibawa ke mana-mana bila diperlukan.

Sebaik disambungkan, sistem ini akan mengawal proses cas semula secara automatik melaraskan kuasa pengecasan je tahap optima. Ciri keselamatannya pula termasuk pengesan arus dan sensor suhu yang akan memastikan keselamatan EV (atau PHEV) dan juga pemiliknya. Ia juga kalis bocor dan kalis air.

Kabel wallbox ini juga boleh dihubungkan dengan internet bagi bolehkan pengguna mengawalnya dari telefon pintar mereka. Ia berfungsi menerusi Mercedes-Benz Charger App yang boleh dilaraskan oleh pengguna mengikut keperluan mereka setiap hari.

Menggunakan aplikasi itu juga pengguna boleh menetapkan tahap kuasa yang diperlukan dan begitu juga dengan kos. Haih, pakai EV lagi mahu fikir pasal kos ke? Ia juga boleh merekodkan aktiviti anda untuk rujukan berapa banyak tenaga yang anda gunakan selama sebulan ke? Setahun ke?

Jadi sebab ini adalah pengecas mudah alih dengan kata lain, Mercedes telah mereka beg yang premium untuk menyimpannya. Semua komponen wallbox mudah alih ini boleh dimuatkan dengan kemas dan teratur. Jadi tak ada masalah ia akan berterabur dalam ruang kargo kereta anda. Tapi kalau jenis serabai tu memang tak dapek nak nolong la.

Berat keseluruhan sistem ini alah sekitar 5 kilogram. Okeylah tu kot. Tak adalah berat sangat sampai menjejaskan jarak perjalanan nanti. Kami jamin beg pakaian orang rumah anda sepuluh kali lagi berat dari wallbox mudah alih ni.

Buat masa sekarang ia hanya boleh didapati di negara kesatuan Eropah dengan harga lebih kurang USD900. Tak payah buat tukaran la kot sebab ia belum dipasarkan di Malaysia. Alah murah je kalau dibandingkan dengan Mercedes baharu korang tu.

Google ads
Back to top button