MERCEDES-BENZ, PORSCHE MAKIN TERTEKAN, PENGELUAR KERETA MEWAH CHINA KINI JADI PILIHAN
China semakin memberi tekanan kepada jenama-jenama mewah Eropah seperti Mercedes-Benz dan Porsche dengan memasuki pasaran kenderaan mewah global, sekali gus merombak persepsi tentang kemewahan automotif.
Sekian lama dikuasai oleh kehebatan buatan Eropah, segmen kereta mewah kini berdepan gangguan dari jenama China seperti BYD, Nio, dan Hongqi, yang menawarkan teknologi terkini, harga kompetitif, serta ciri-ciri mewah.
Jenama legasi seperti Mercedes dan Porsche biasanya memiliki kelebihan kerana reputasi serta kualiti pembuatan mereka.
Namun, dengan kehadiran pengeluar automotif China yang menawarkan kenderaan elektrik (EV) mewah pada harga lebih kompetitif, definisi tentang kemewahan dan prestij sedang berubah.
Mercedes-Benz sendiri baru-baru ini melaporkan margin keuntungan terendah sejak pemisahannya pada 2021, menunjukkan permintaan yang semakin lemah serta persaingan sengit dari China.
Jenama China kini memperkenalkan ciri-ciri integrasi digital yang canggih, selain menawarkan rekaan dalaman mewah dengan ciri teknologi terkini, termasuk kawalan suara, paparan digital, dan pilihan unik seperti kemasan kulit serta ruang penyejuk minuman.
BYD, dengan model Yangwang U8 yang boleh bergerak secara sisi kerana setiap rodanya memiliki motor tersendiri, serta SU7 keluaran Xiaomi yang bakal mencabar Porsche Taycan, sedang mencetuskan standard baharu dalam kemewahan moden.
Teknologi tinggi ini, digabungkan dengan harga yang lebih kompetitif, jelas menarik perhatian pengguna di Eropah.
Pengeluar Eropah turut mengakui ancaman ini, dengan syarikat seperti BMW dan Volkswagen berwaspada terhadap keuntungan masa hadapan di tengah-tengah persaingan sengit dari China.
Porsche juga sedang menyemak semula model-modelnya berikutan penurunan permintaan di pasaran China, menekankan keperluan untuk lebih beradaptasi bagi kekal relevan.
Walaupun Kesatuan Eropah telah mengenakan tarif bagi melindungi pengeluar tempatan, permintaan terhadap EV mewah berteknologi tinggi bagaimanapun terus kukuh.
Pakar seperti Tu Le, pengasas Sino Auto Insights, mencadangkan bahawa jenama mewah China mampu membina bahagian pasaran yang besar di Eropah dengan kesabaran dan pelaburan yang tepat.
Analisis oleh McKinsey juga menjangkakan bahawa segmen kereta mewah akan berkembang pada kadar lebih pantas berbanding pasaran massa, memberi ruang kepada jenama China untuk memanfaatkan trend ini.
Selain itu, jenama-jenama China turut meningkatkan keterlihatan mereka di Eropah melalui penyertaan dalam acara berprestij.
Sebagai contoh, Yangwang dari BYD dan Aito yang disokong oleh Huawei telah membuat kemunculan di acara Paris Car Show dan Goodwood Festival of Speed, menjadikan mereka lebih dekat dengan audiens Eropah.
Sementara, jenama-jenama terkenal seperti Aston Martin, Lamborghini, dan Ferrari kini terpaksa berkongsi pentas dengan pendatang baharu ini.
Dengan masa depan pasaran kenderaan mewah kini di ambang perubahan besar, jenama automotif China dijangka bakal mentakrifkan semula maksud memiliki kenderaan premium.
Ketika jenama Eropah menyusun semula strategi mereka, persaingan yang semakin sengit ini dijangka akan mengubah jangkaan pengguna dan menawarkan lebih banyak pilihan dalam sektor EV mewah.
- BACA: GWM HAVAL H6 HEV TERIMA LEBIH DARIPADA 1,500 TEMPAHAN KURANG SEBULAN PELANCARAN
- BACA: KENDERAAN ELEKTRIK: 200,000 PEKERJA BAKAL HILANG PEKERJAAN MENJELANG 2035
- BACA: PELUANG MENARIK MENANTI DI ROADSHOW LEAPMOTOR C10, NIKMATI PENJIMATAN SEBANYAK RM10K!
- BACA: KENDERAAN PENGANGKUT KERETA PERISAI TERBABAS, LANGGAR BESI PENGHADANG