Buletin

MERCEDES-BENZ E-CLASS ALL-TERRAIN 2024 DIDEDAHKAN, 375HP, ANGGARAN HARGA RM363K

Selepas melancarkan model standard Estate pada Jun lalu, Mercedes-Benz kini meluaskan lagi rangkaian E-Class dengan memperkenalkan model E-Class All-Terrain 2024.

Dari segi dimensi, model ini berukuran 4,950mm panjang, 1,904mm lebar, dan 1,497mm tinggi. Sebagai perbandingan, Estate E-Class S214 adalah lebih rendah berbanding All-Terrain iaitu 1,469mm.

Untuk rekod, E-Class All Terrain menerima suspensi udara Airmatic dengan pelarasan redaman berterusan, membolehkan kenderaan mencapai jarak pelepasan tanah sehingga 46mm lebih banyak berbanding Estate S214.

Selain itu, model ini diserlahkan dengan rim bersaiz 18-inci dan dibalut dengan tayar berukuran 235/55. Sementara, rim bersaiz sehingga 20-inci didatangkan sebagai pilihan.

Dari segi rupa, E-Class All Terrain tampil dengan kemasan jeriji hadapan dengan dua bar melintang kemasan Iridium Silver, bampar yang disemak semula serta plastik pelindung pada arka roda.

Di dalam kabin, X214 All-Terrain menerima sistem infohiburan MBUX superscreen (Mercedes-Benz User Experience) generasi terkini manakala penambahan skrin untuk penumpang hadapan didatangkan sebagai pilihan.

Bukan itu sahaja, model All-Terrain turut tiba bersama mod pemanduan off-road, di mana ia  memaparkan maklumat seperti kompas, koordinat latitud dan longitud, sudut kenderaan, tekanan tayar serta fungsi hud lutsinar sebagai sebahagian daripada sistem kamera 360 darjah.

Maklumat lain, kapasiti bagasi pada X214 All-Terrain adalah sama dengan S214 Estate, iaitu daripada 615 liter kepada 1,830 liter, atau daripada 460 liter kepada 1,675 liter untuk varian hibrid plug-in.

Beralih kepada kuasa, X214 E-Class All-Terrain dijana oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo, menghasilkan 375hp pada 5,800-6,100rpm, tork 500Nm, dibantu dengan sistem hibrid ringan berkuasa 23hp dan 205Nm.

Daya pecutan 0-96km/j hanya mengambil masa 4.6 saat manakala had kelajuan tertinggi dihadkan pada 209km/j. Mercedes tidak mendedahkan maklumat harga untuk All-Terrain baharu, tetapi model itu dijangka diberi tanda  bermula AS$78,000 (RM363,519).

Google ads
Back to top button