Artikel PilihanBuletin

RINDU MINI ORIGINAL? IA AKAN KEMBALI (TAPI DENGAN HARGA MENINGGAL DUNIA)

David Brown Automotive baharu sahaja melancarkan projek baharu mereka yang dinamakan Project 2. Melalui projek ini, mereka akan merestorasi dan memodenkan lagi MINI klasik, terhad kepada 100 unit sahaja.

Jika anda seorang peminat Mini sejati dan meminati filem The Italian Job versi asal lakonan Michael Caine mungkin anda kurang berminat dengan MINI yang dihasilkan oleh BMW Group (atau mungkin anda memang seorang peminat fanatik Mr. Bean).

Kini David Brown Automotive menawarkan model yang mungkin akan menarik minat anda. Dinamakan ‘MINI Remastered’, ia merupakan sebuah kereta klasik yang diberi nafas baharu dan dihadkan kepada 100 unit sahaja dengan harga permulaan dianggarkan sekitar RM275,000!

Harga itu tidak dapat dielakkan memandangkan MINI Remastered akan direstorasi sepenuhnya di England dengan struktur casis, kemasan luaran dan dalaman yang dijangka mengambil masa sekitar 1,000 jam untuk disiapkan. Malah harga itu dikatakan akan meningkat lagi kepada RM385,000 jika pelanggan memilih model edisi terhad dan disiapkan sekitar hujung tahun ini.

David Brown Automotive sebelum ini dikenali kerana membina Speedback GT, sebuah model ala 60-an yang diasaskan daripada model Jaguar XKR. Kini, syarikat yang berpangkalan di Coventry itu akan memulakan projek baru mereka dengan menaik taraf dan merestorasi model MINI asal.

Ia digelar dengan jolokan “MINI klasik terbaik”, setiap kereta akan kelihatan sama dari segi saiz seperti MINI asal tetapi dengan panel badan baharu yang dihasil menggunakan tangan.

Struktur casis baru akan diperkuatkan, selain dihiasi grim aluminium di hadapan. Lampu-lampu baharu juga menggunakan teknologi LED sepenuhnya. Selain daripada itu, logo unik dan beberapa ciri lain akan menjelaskan yang ini sememangnya bukan sebuah MINI klasik yang biasa.

Bahagian dalaman lebih berevolusi. MINI Remastered jauh lebih up-to-date dengan sistem pandu arah GPS binaan dalam, lengkap dengan sistem infotainmen yang mesra Android dan Apple CarPlay.

Sistem penghidup tanpa kunci, tempat duduk kulit dihasilkan dengan tangan merupakan ciri standard. Suis-suis asal dikekalkan, tetapi kini dikemaskan dengan bilah-bilah aluminum yang digilap. Malah posisi tempat duduknya juga dilaras kembali agar lebih selesa.

MINI Remastered masih mengekalkan enjin 1,275cc asal, tetapi dengan peningkatan 50 peratus kuasa berbanding sebelumnya. Bahagian lain seperti kotak gear dan suspensi juga akan dinaik taraf. Ia menggunakan brek cakera dengan angkup empat-pot pada semua roda.

Fungsi tebatan bunyi turut dipertingkatkan. Pengasasnya, David Brown berkata yang kereta ini masih mempunyai gaya dan perasaan yang sama seperti MINI asal tetapi lebih dinamik.

Kami memang cukup bersetuju dengan beliau, walaupun cuma berdasarkan gambar yang disertakan. Lihat sahaja gambar-gambar ini dan anda akan dapati yang tahap profesionalisme syarikat ini memang cukup tinggi. Ini bukannya proses restorasi dalam bengkel usang dengan kelengkapan yang terhad tetapi lengkap dengan studio dan pereka berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Projek itu menjadi projek sulung syarikat di studio rekaan dan jualan baharu mereka yang seluas 18,000 kaki persegi di Silverstone, selepas berpindah dari Coventry pada musim panas tahun ini.

BACA: MINI SEVEN EDITION, RM235K, 30 UNIT SAHAJA

BACA: COUNTRYMAN EDISI JW DESIGN

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button