
KERETA PERONDA ELEKTRIK ‘HALANG’ POLIS UK LAKSANA TUGAS
Salah satu pasukan polis yang memiliki armada kenderaan elektrik terbesar di UK kini berhadapan dengan kesukaran untuk membanteras jenayah disebabkan oleh armada EV mereka sendiri.
21 peratus daripada jumlah keseluruhan armada Gloucestershire Constabulary terdiri kenderaan elektrik merangkumi 66 buah Nissan LEAF dan sembilan van Nissan NV200.
Menurut Chris Nelson, Pesuruhjaya Polis Gloucestershire berkata, ramai pegawainya berhadapan dengan masalah EV kehabisan tenaga semasa bertugas.
“Saya mendengar ada masalah di mana pegawai yang sedang bertugas cuba mencari fasiliti pengecasan, kehabisan tenaga bateri dan perlu mencari kenderaan lain.
“Walaupun saya faham dan menyokong kawalan iklim, keutamaan saya pada ketika ini adalah untuk membanteras jenayah!”
Menurut laporan daripada The Telegraph, penambahan berat disebabkan oleh kelengkapan yang dibawa oleh kereta peronda juga turut memberikan kesan kepada jarak gerak sesebuah EV.
Disebabkan itu 10 pasukan polis di UK masih lagi belum membuat keputusan untuk membeli mana-mana EV untuk dimasukkan ke dalam armada mereka. – The Telegraph







