Buletin

KES KERETA KLON MENINGKAT SEHINGGA 50 % DI LONDON (NEGARA MAJU PUN ADA MASALAH INI)

Sebelum ini biasa dilaporkan di media massa perihal kereta klon di negara kita. Kereta klon ini begitu aneh kerana berkongsi nombor pendaftaran, warna dan model yang sama.

Bagaimana ini boleh berlaku? Kebiasaannya kereta klon atau yang diseludup didatangkan pada harga tidak masuk akal. Kepada pengguna yang ditawarkan kereta dengan ciri berikut, berwaspadalah.

Ada juga kes berlaku di mana pengguna menerima saman untuk kesalahan trafik yang tidak dilakukan. Jika yakin tidak bersalah, mohon semak bukti bergambar dengan pihak berkuasa supaya anda tidak menjadi mangsa nombor pendaftaran palsu.

Satu lagi cara memerika kereta klon atau tidak ialah melalui pemeriksaan nombor casis dan enjin mengikut data yang didaftarkan dengan pihak berkuasa.

Kes kereta klon rupa-rupanya bukan sahaja dihadapi oleh pengguna tempatan malah turut menghantui pemandu di negara maju seperti United Kingdom.

Melalui data rasmi yang diperolehi laman web kepenggunaan automotif HonestJohn.co.uk, kes kereta klon di London telah meningkat sebanyak 50 peratus dalam masa setahun.

Data tersebut diperolehi dari Transport for London (TfL) bagi Caj Kesesakan Zon dan mendapati kes pembatalan PCN (Penalty Charge Notices) semakin meningkat akibat kes pengklonan.

Di London kenderaan dikenakan cas kesesakan bagi mengurangkan kadar trafik di dalam bandar pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat.

Cas Kesesakan Zon dikuatkuasa melalui rangkaian kamera pengecaman nombor pendaftaran automatik atau ANPR dengan merakam nombor pendaftaran dan kenderaan setiap kali ia dipandu masuk dan keluar dari zon yang diwartakan.

Pemandu yang tidak menjelaskan caj Kesesakan Zon akan menerima PCN berjumlah GBP 130 yang perlu dibayar dalam masa 28 hari. TfL biasanya akan memberi diskaun sebanyak GBP 65 jika bayaran dibuat dalam masa 14 hari.

Sekarang timbul persoalan bagaimana kes pengklonan dikesan?

Dari jawapan yang diberikan kepada HonestJohn, TfL memaklumkan sebelum mengeluarkan PCN mereka akan terlebih dahulu memeriksa gambar kenderaan sama ada menyamai rekod Agensi Perlesenan dan Pemanduan (DVLA) UK atau tidak.

Jika sama barulah penalti dikeluarkan dan dihantar kepada pemilik.

Jadi di sinilah kereta klon dapat dikesan atau jika mereka tidak melalukan kesalahan tersebut, pemilik perlu mengemukakan bukti.

Pada tahun 2016 PCN yang dibatalkan disebabkan isu klon berjumlah 1099 kes dan pada tahun 2017 angka tersebut meningkat kepada 50 peratus iaitu sebanyak 1652 kes. Data untuk enam bulan pertama tahun ini juga menunjukkan trend meningkat.

Selain itu, portal UK tersebut merasakan jumlah kereta klon lebih tinggi berbanding data sedia ada memandangkan caj zon kesesakan hanya dikuatkuasa dari Isnin hingga Jumaat sahaja.

Bagi mengelak daripada teraniaya, Daniel Powell, Pengarang Urusan HonestJohn memberikan beberapa tips di antaranya ialah memasang kamera dalaman (dash cam) dengan fungsi GPS supaya bukti rakaman dapat ditunjukkan berserta data pengesanan.

Selain itu pemandu juga boleh menunjukkan bukti bahawa kereta yang disaman bukan milik mereka kerana kebiasaannya nombor pendaftaran palsu tidak mempunyai logo pengeluar dan kosong sahaja.

BACA: TEKSI LONDON TERUS MAJU KE DEPAN – PEMILIKNYA ADA KAITAN DENGAN PROTON

BACA: PELIK TAPI BENAR – NISSAN EVALIA TIDAK LAKU DI INDONESIA

Google ads
Back to top button