Motosikal

KLIMS 2018: HONDA PCX HYBRID – PERTAMA DI MALAYSIA, RM13,999 SEUNIT

Boon Siew Honda membuat kejutan apabila melancarkan model skuter hibrid pertama di pasaran Malaysia menerusi PCX Hybrid.

Diperkenalkan secara rasmi pada Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS 2018), PCX Hybrid direka untuk menawarkan keseronokan, teknologi termaju, tunggangan selesa dan penampilan mewah.

Dilengkapi sistem hibrid Honda, skuter premium itu dikuasakan oleh enjin petrol selinder tunggal 4 lejang dengan sistem penyejukan cecair 150cc yang dipadankan bersama sebuah bateri Lithium-ion output tinggi.

Sistem bantuan motor ditambah pada penghidup ACG yang membolehkan enjin memberi maklum balas pendikit lebih tepat dan pecutan lebih baik apabila motosikal ingin memulakan perjalanan atau memecut dengan pantas.

Enjin 150cc itu menawarkan kuasa maksimum 15hp pada 8,500rpm dan tork 13.2Nm pada 6,500rpm. Sementara motor elektrik menyediakan kuasa maksimum 1.9hp pada 3,000rpm dan tork 4.3Nm pada 3,000rpm.

Penunggang juga boleh menikmati tunggangan mengujakan menerusi tiga mode yang ditawarkan, bergantung kepada kecenderungan dan kondisi tunggangan:

  1. Mode tunggangan (D) menyediakan tunggangan yang selesa dan penggunaan bahan api lebih baik.
  2. Mode Sport (S) untuk penunggang yang mahukan tunggangan lebih sporty.
  3. Mode Idling OFF yang membantu penunggang menyahaktifkan fungsi Idling Stop System (ISS), tetapi mengekalkan prestasi yang sama seperti dalam mode D. 

Sebagai sebuah model mesra alam, PCX Hybrid diintegrasikan dengan ciri Enhanced Smart Power (eSP) yang mengoptimumkan penjimatan bahan api, pada masa sama cukup berprestasi.

Ia juga dibina dengan pelbagai teknologi seperti ISS, Combined Braking System (CBS) and Honda SMART Key System.

Bukan itu sahaja, model AT premium itu dilengkapi beberapa ciri yang praktikal seperti sistem lampu LED, panel meter digital sepenuhnya, soket DC di dalam kotak konsol untuk kuasa mengecas, ruang bawah tempat duduk yang luas dengan seat stopper dan tangki minyak paling besar dalam kelasnya berkapasiti 8 liter.   

Skuter itu hadir dalam warna biru mutiara (Pearl Dark Night Blue) yang eksklusif.

GALERI

Google ads
Back to top button