Artikel Pilihan

KOS SERVIS PROTON S70, PALING MURAH RM 244, PALING MAHAL RM 1157. MACAM HAILAK

Proton S70 merupakan pertaruhan terbaru daripada syarikat automotif ini untuk kembali menguasai jualan kenderaan dalam negara melalui model sedan mampu milik dan juga moden. Selepas kejayaan 3 buah SUV secara berturut-turut iaitu X70, X50 dan juga X90, model sedan baru adalah perlu untuk menggantikan model Persona yang telah usang dan juga Saga yang lebih kecil.

Dari segi saiz, Proton S70 adalah lebih besar berbanding dengan Honda City dan juga Toyota Vios tetapi lebih kecil daripada segmen C lain seperti Honda Civic dan juga Toyota Altis. Namun S70 diberikan enjin 1500cc 3 silinder turbo dan transmisi DCT menjadikan bakal pembeli meleleh air liur dengan penawaran teknologi pada harga mampu milik

Sebagai contoh varian termurah iaitu Executive ditawarkan dengan harga jualan RM 73,800 menjadikan bayaran bulanan sekitar RM 764 sahaja (pinjaman 9 tahun, kadar bunga anggaran 2.7% dan bayaran muka 10%). Keadaaan ini meletakkan posisi S70 dalam radar kenderaan baru yang mengiurkan bagi graduan atau pebeli dengan kadar gaji 3000 ke atas.

Tapi suka kami maklumkan, jika anda mampu membeli sesebuah kereta tanpa mengira jenama apa sekalipun pastikan juga anda mampu membayar kos lain yang tersembunyi seperti penyelenggaraan, alat ganti, takaful dan juga kos-kos lain yang tersembunyi. Makan mi segera setiap hari bukanlah sedap sangat pun.

Jadi kami senaraikan kos servis Proton S70 mengikut sela masa 10,000km atau setiap 6 bulan.

1. 1,000km atau 1 bulan pertama- berbeza dengan jenama lain yang tidak memerlukan penukaran minyak enjin, S70 memerlukan anda menukar minyak enjin dengan kos RM 244.51. Ini merangkumi minyak sintetik penuh (RM 189), penapis minyak enjin (RM 50.25) dan drain plug gasket (RM 5.26) menjadikan kos pertama ialah RM 244.51.

Semua perkara di atas adalah servis berulang pada setiap 10,000km dan akan dikenakan caj upah

2. 10,000km – kos servis akan meningkat menjadi RM 301.85 kerana pada ketika ini penapis enjin perlu ditukar dengan harga RM 55.34. Ia wajib ditukar pada setiap 20,000km dan kos ini sama ketika servis 30,000km, 50,000km, 70,000km, 90,000km

3. 20,000km – pemilik perlu menukar penapis penyaman udara (RM 69), pencuci cermin depan (RM 2), dan juga upah (RM 66) menjadikan kos servis pada kali ini ialah RM 385.47 termasuk dengan SST. Ia adalah servis yang hampir sama pada 110,000km

4. 40,000km – harga ketika ini agak keras sebab servis kali ini adalah semi major merangkumi satu set palam pencucuh (RM 117.45), minyak brek (RM 50.11), penapis penyaman udara (RM 69), pencuci cermin (RM 2) dan upah (RM 138). Jadi pemilik perlu menyediakan bajet sekitar RM 629.35 termasuk SST.

5. 60,000km – cecair penyejuk enjin perlu ditukar dengan kos RM 135.45, menjadikan kos keseluruhan ialah RM 584.52 termasuk SST dan juga upah.

6. 80,000km – antara masa yang paling ngeri pada semua jenama kereta termasuklah Proton. Selain daripada servis asas, anda perlu menukar palam pencucuh, cecair DCT (RM 346.92), minyak brek, penapis penyaman udara dan juga kos upah (RM 180). Kos keseluruhan ialah RM 1020.79 termasuk SST dan merupakan servis berulang pada 160,000km

7. 100,000km – pada masa ini, tak banyak kos diperlukan kerana S70 hanya memerlkan penukaran “drive belt” (RM 41.36) dan penapis penyaman udara sahaja. Ini menjadikan kos keseluruhan servis mencecah RM 452.27.

8. 120,000km – ini adalah kos paling mahal yang perlu ditelan oleh pemilik S70 kerana pada ketika ini kebanyakan servis major perlu dilakukan. Ini termasuklah palam pencucuh, cecair penyejuk, “timing belt” (RM 195.16), penapis penyaman udara dan juga kos upah (RM 324).

Secara keseluruhan kos pada kali ini mencapai RM 1157.12 termasuk SST. Pada pendapat penulis ia merupakan kos yang agak mahal bagi sebuah kereta yang diposisikan dalam kategori mampu milik.

9. Seperti biasa lain lain kos tambahan seperti kos servis penyaman udara, kos bateri, kos alat ganti seperti tayar, getah pembersih cermin, pelapik brek, penjajaran tayar dan imbangan tidak termasuk dalam senarai di atas.

10. Jadi pada hemat penulis, anggaran gaji kasar jika anda berminat untuk membeli Proton S70 ialah RM 4000 jika tinggal di luar bandar bagi membolehkan anda membayar pinjaman, kos servis dan lain lain kos seperti petrol, tol dan sebagainya.

11. Rumusannya, kos paling murah untuk servis S70 ialah Rm 244.51, kebiasaannya mencecah RM 400, menghampiri 700 ketika 40,000km dan boleh mencecah RM 1157 pada perbatuan 120,000km. Mahal atau tidak semua bergantung pada poket anda, jangan seluk poket orang lain.

Anda boleh menyemak kos servis Proton S70 di SINI

Google ads
Back to top button