
Tahukah anda bahawa yuran pemprosesan pinjaman untuk motosikal sebenarnya sudah ada garis panduan yang ditetapkan oleh pihak KPDNHEP? (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna)
Mengikut peraturan sedia ada, caj pemprosesan yuran pinjaman bagi barangan yang bernilai RM30,000 ke bawah, telah ditetapkan tidak boleh melebihi RM50.
Sementara itu, bagi barangan yang bernilai RM 30,001 ke atas, yuran pemprosesan yang boleh dikenakan ialah antara RM51 hingga RM100.
Dalam laporan Harian Metro semalam, sebuah premis di Dungun Terengganu telah diserbu oleh pihak KPDNHEP dalam satu operasi Ops Jualan Kredit.
Ketua Cawangan KPDNHEP Dungun, Mohamad Hashim yang mengetuai serbuan tersebut mendapati premis itu mengenakan yuran pemprosesan sebanyak RM170 bagi setiap urusan pinjaman dari pembeli.
Mengikut undang-undang Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2017, setiap kesalahan boleh dikenakan tindakan denda.
Jika didapati bersalah, mana-mana premis yang melanggar peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi kesalahan pertama dan RM200,000 bagi kesalahan kedua.
Selain daripada melanggar peraturan had yuran pemproses, operasi yang sama juga melibatkan lima lagi premis berbeza kerana tidak menepati Peraturan18 (1) Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2017 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Ia kerana premis terlibat didapati tidak mempamerkan notis jualan kredit di kedai masing-masing.
Menurut Mohamad Hashim lagi, masyarakat yang merasakan bahawa jika ada pekedai yang cuba menipu boleh terus menghubungi KPDNHEP untuk membuat laporan.