
PERNAH DENGAR LISTER MOTOR COMPANY? TIDAK PERNAH? SAMA LAH
Jika ada negara yang paling banyak mengeluarkan syarikat kereta di dunia rasanya bolehlah diserahkan kepada United Kingdom. Daripada kereta penumpang seperti MG sehinggalah kepada kereta sport seperti McLaren.
Itulah nilai kepandaian rakyat dan industri berat di UK.
Ada syarikat yang dah bankrap, maju dan paling banyak sekali dibeli oleh syarikat asing. Ada juga syarikat yang telah lama senyap kemudian dihidupkan kembali.
Sehingga 2014 terdapat 35 buah syarikat kenderaan Britain masih aktif dan lebih daripada 500 syarikat yang sudah tidak beroperasi.
Pernah dengar Lister Motor Company?
Jika tidak pernah bermakna jawapannya sama dengan penulis. Lister Cars diasaskan oleh Brian Lister di Cambridge, England pada tahun 1954.
Syarikat ini pada asalnya terlibat dalam sukan permotoran dengan mengeluarkan kereta lumba sendiri dan beberapa jenama lain sehinggalah dijual kepada Laurence Pearce pada tahun 1986.
Selepas itu syarikat mengeluarkan varian kereta Jaguar yang diubahsuai dan kemudian kereta sport dan lumba sendiri iaitu Lister Storm.
Sekali lagi pada tahun 2013, Lister Cars bertukar tangan kepada pasangan ayah dan anak Andrew dan Lawrence Whittaker yang juga pemilik kereta Lister Knobbly.
Mereka menjenamakan semula syarikat kepada Lister Motor Company. Selepas memiliki syarikat, mereka mengeluarkan edisi khas Lister Knobbly Stirling Moss pada bulan Jun 2016.

Selepas berbulan-bulan tanpa khabar berita tentang model baharu, Lister akhirnya mengumumkan perancangan mereka iaitu sebuah Jaguar F Type yang dinaik taraf pada awal tahun ini.
Walaupun berpuluh tahun senyap tanpa model baharu, projek ini tetap mendapat sambutan. Lister sudah pun menerima beberapa tempahan dan bakal dikeluarkan dalam jumlah terhad iaitu 99 unit sahaja dengan kuasa enjin yang ditingkatkan kepada 666 bhp.
Model ini adalah yang paling pantas, berkuasa dan mewah pernah Lister keluarkan sejak penubuhannya 65 tahun lalu.
Model yang dinaiktaraf tidak lagi menggunakan nama Jaguar F Type tetapi dengan identiti sendiri iaitu Lister LFT-666.

Naiktaraf yang dilakukan begitu banyak di antaranya panel badan diperbuat daripada gentian karbon agar kereta lebih ringan dan aerodinamik.
Kelengkapan baharu yang digantikan ialah bamper depan, splitter depan, diffuser belakang, lip spoiler belakang, arka roda lebar, gril rekaan baharu dan roda ringan dipadankan bersama tayar Michelin.
Dengan penukaran kelengkapan ini, Lister 666 menjadi lebih ringan dan kuat serta ciri-ciri aerodinamik lebih baik di jalan raya dan litar serta lebih laju berbanding model asal.
Lister turut mengubah semula suspensi dan beberapa peralatan dalam termasuk stereng dan rekaan kerusi. Lister 666 dikuasakan oleh enjin 5.0 liter V8 supercaj.

Tidak seperti model-model lain yang diumumkan awal tetapi produksi hanya berlaku sehingga setahun atau dua tahun kemudian, unit pertama Lister LFT-666 akan dihantar kepada pelangga pada 1 Oktober depan.
Selain daripada 99 unit terhad, Lister turut menawarkan pakej naiktaraf tayar dan kit badan untuk model Jaguar F-Type Standard kepada pelanggan di seluruh dunia. Pakej untuk logo Lister, bamper dan roda bermula daripada GBP 9,750 (RM 51,735).
Pakej untuk model asas Lister LFT-666 pula bermula daripada GBP 141,155 (RM 748,996).
BACA: NISSAN MAHU MODEL GANTIAN GT-R ADALAH SUPERCAR YANG TERPANTAS DI DUNIA
BACA: 6 SUPERCAR INI MASIH LAGI DITAWARKAN DENGAN TRANSMISI MANUAL – SYUKURLAH NAK