
LUPA MASUK GEAR NEUTRAL. KERETA REMPUH KEDAI STESEN MINYAK
Seorang pemandu wanita warga asing secara tidak sengaja merempuh premis kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Bandar Bandar Baru Bangi, Bangi petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian 2.20 petang, wanita berusia 33 tahun itu masuk ke dalam kereta Proton Saga bertransmisi manual lalu menghidupkan enjin.
“Bagaimanapun, tanpa disedari kenderaan berkenaan masih dalam gear dan bukan free (neutral) menyebabkan ianya melonjak ke hadapan dan melanggar cermin kaca kedai lalu merempuh masuk ke dalam kedai berkenaan,” katanya.
Kedai itu mengalami kerosakan cermin hadapan manakala kenderaan itu juga turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan tetapi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan
Mohd Zaid turut menasihat pemandu agar berhati-hati terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi selain berkata pengusaha stesen minyak juga mungkin perlu memikirkan ciri-ciri keselamatan untuk mengelakkan premis kedai dirempuh kenderaan. – Bernama