Buletin

LAMBO JUAL MODEL HIBRID PADA 2023!, NAK BELANJA BESAR!

Berada di dalam kumpulan automotif yang besar banyak faedahnya sebagai contoh perkongsian platform, teknologi, sumber manusia serta kewangan dan sebagainya.

Contoh mudah bagaimana Perodua memperolehi manfaat dari Daihatsu dan PROTON dari Kumpulan Geely.

Namun tidak semuanya mudah kerana terpaksa berkompromi dengan DNA dan identiti bagi mendapatkan skala ekonomi.

Apatah lagi jika sesebuah syarikat mempunyai warisan dan legasi ikonik. Di antara syarikat eksotik yang berada di dalam kumpulan automotif besar ialah Automobili Lamborghini.

Setakat ini adakah Lamborghini kehilangan identiti?

Tidak dan perkembangan syarikat Itali itu begitu membanggakan sebagaimana penawaran SUV Urus yang berjaya meningkatkan jualan syarikat.

Apa pula selepas ini? Lamborghini mengumumkan syarikat akan memulakan program kenderaan hibrid dan elektrikasi secara massa dalam tiga fasa.

Lamborghini sebelum ini menawarkan model hibrid Sián FKP dan ia hanya ditawarkan sebanyak 63 unit terhad sahaja.

Berikut ialah tiga fasa perancangan Lamborghini untuk tahun mendatang:

Fasa Pertama: Bermula tahun 2021 hingga 2022 Lamborghini akan meraikan warisan syarikat dan menariknya bakal melancarkan dua buah model baharu bernadikan enjin V12. Ini bermakna enjin V12 kekal dikeluarkan dari Sant’Agata, Bolognese.

Fasa Kedua: Pada tahun 2023, Lamborghini akan melancarkan model produksi massa hibrid yang pertama dan menjelang hujung tahun 2024 kesemua model ditawarkan dengan nadi elektrifikasi.

Usah risau, Lamborghini akan mengekalkan prestasi dan rasa asli pemanduannya dan menjadi fokus para jurutera dan juruteknik dalam membangunkan teknologi baharu.

Walaupun Kumpulan Volkswagen sudah mempunyai teknologi elektrifkasi tidak bermakna ianya boleh plug and play dan di sini DNA syarikat memainkan peranan.

Satu lagi perkara yang diberi perhatian ialah berat dan penggunaan gentian karbon ringan sangat penting bagi mengimbangi berat komponen elektrifikasi.

Sasaran dalaman syarikat untuk fasa ini ialah mengurangkan pelepasan CO2 sehingga 50 peratus menjelang awal tahun 2025.

Peralihan sebesar ini memerlukan pelaburan besar dan berapakah jumlahnya?

Lebih daripada 1.5 bilion euro (RM7.58 bilion) yang diperuntukkan dalam tempoh empat tahun dan jumlah itu paling besar dalam sejarah Lamborghini.

Fasa Ketiga: Dalam tempoh ini model 100 peratus elektrik Lamborghini akan diperkenalkan. Mengikut perancangan adalah pada separuh dekad kedua atau tahun 2025 ke atas.

Tiada perincian mengenai model EV ini dan pastinya sesuatu yang menarik.

Untuk membayangkan bagaimana sebuah EV dari pengeluar eksotik kita boleh melihat kepada pengeluar lain yang masing-masing telah memperkenalkan kereta hiper elektrik.

Pastinya dengan daya pecutan luar biasa!

BACA: PADA 1970 LAMBORGHINI URRACO DIPERKENAL, 2+2 TEMPAT DUDUK

BACA: LAMBORGHINI SIÁN FKP 37, DIBINA DARI 3696 KEPING LEGO

BACA: LAMBORGHINI HURACÁN EVO RWD – SENSASI ‘TARIK BELAKANG’

Google ads
Back to top button