,
Buletin

LAMBORGHINI HURACÁN EVO RWD – SENSASI ‘TARIK BELAKANG’

Sebelum banyaknya teknologi elektronik pada hari ini, kenderaan dahulu bergantung kepada teknologi mekanikal. Ia berpadanan dengan kuasa, berat dan perkembangan teknologi masa lalu.

Bayangkan pula kereta super berpuluh tahun lalu. Berkuasa, sukar dikawal dan buas. Satu lagi ciri utama pada kereta super pada masa itu ialah pacuan roda belakang (RWD).

Dengan kemajuan, kuasa dan kepantasan kereta super hari ini, bolehkah RWD digunakan? Boleh. Terbaru Automobili Lamborghini memperkenalkan Huracán EVO Rear-Wheel Drive (RWD).

Kereta super ini mempunyai kuasa 610 hp pada 8,000 rpm dan tork 560 Nm pada 6,500 rpm. Bukan sahaja berkuasa, beratnya pula ringan iaitu hanya 1,389 kg.

Kelajuan maksimum ialah 325 km/j dan pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 3.3 saat.

Meskipun berkuasa tinggi, Lamborghini memaklumkan kereta ini bukan difokuskan pada kelajuan atau rekod di litar, ia dibina sebagai kereta pemandu atau driver’s car.

Enjin 5204cc V10 ini mempunyai sensasi sendiri dengan menghasilkan bunyian enjin aspirasi normal. Ia dipadankan bersama transmisi tujuh kelajuan berkembar dan kawalan pelancaran untuk pecutan maksimum dari keadaan statik.

Lamborghini menggunakan sistem kawalan cengkaman dengan talaan khas bagi memberikan pengalaman pemanduan menyeronokkan dalam keadaan basah atau kering dan bersalji.

Lamborghini menjadikan sistem elektronik sebagai ‘kawan’ dan mengeksploitasinya bagi memberikan kelebihan pada kereta ini.

Performance Traction Control System (P-TCS) dikalibrasi secara khusus untuk kereta super RWD ini dengan menghantar daya kilas (tork) meskipun kereta dalam fasa penjajaran semula selepas apungan (drifting) atau gelincir sisi (side-slipping).

Sementara sistem kawalan cengkaman normal bertindak dengan menunggu kereta stabil sepenuhnya sebelum menghantar semula daya kilas, P-TCS pula berfungsi secara berbeza.

P-TCS akan menghantar daya kilas lebih awal bagi mengelak pemutusan daya kilas secara kasar dan seterusnya memberikan cengkaman yang lebih baik semasa keluar dari selekoh.

Intervensi P-TCS dikalibrasi mengikut mod pemanduan yang boleh dipilih melalui butang ANIMA (Adaptive Network Intelligent Management) pada stereng.

Dalam mod STRADA, P-TCS mengurangkan gelinciran roda belakang untuk kestabilan dalam pelbagai jenis keadaan. Sistem bertindak secara proaktif dalam menguruskan penghantaran tork di atas permukaan yang licin.

Dalam mod SPORT, P-TCS memberikan pemanduan menyeronokkan. Roda belakang boleh digelincir dan digelongsor semasa pecutan untuk apungan lebih mudah tanpa mengabaikan keselamatan.

Sistem yang digunakan mampu mengenalpasti keadaan di mana sudut oversteer meningkat dengan tinggi seterusnya menghadkan penghantaran daya kilas ke roda belakang supaya pemandu dapat mengawal dan menstabilkan kereta.

Dalam mod CORSA, P-TCS ditala bagi mendapatkan gelinciran roda belakang yang mengoptimumkan cengkaman dan kelincahan kereta semasa keluar dari selekoh dan membolehkan pemandu memaksimumkan prestasi.

P-TCS pada Huracán EVO RWD ini mepunyai tahap kelancaran intervensi sebanyak 30 peratus lebih baik berbanding Huracán RWD sebelumnya dan memperbaiki cengkaman keluar selekoh sebanyak 20 peratus dan oversteer sebanyak 30 peratus.

Lamborghini Huracán EVO RWD dipasarkan pada harga GBP137,000 (RM735,573) tidak termasuk cukai dan penghantaran pertama bermula Mac 2020.

BACA: LAMBORGHINI HURACÁN DIGUNA UNTUK PANDU ARAH KAPAL TERBANG

BACA: LAMBORGHINI HURACÁN LAGI LARIS DARIPADA GALLARDO, 14K UNIT DALAM 5 TAHUN

BACA: MAAF, LAMBORGHINI BUKAN UNTUK DIJUAL – VOLKSWAGEN

Tags
Google ads
Back to top button