Buletin

POLIS TAHAN 10 ORANG MAT REMPIT. RAMPAS WANG RM38K DI LEBUH RAYA LEKAS

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilapor telah berjaya menumpaskan satu kegiatan lumba haram pada 13 Januari lalu.

Dijalankan di Kilometer 25.6 di arah selatan ke Kilometer 24.6 Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), operasi itu bermula pada pukul 9 malam dan berakhir sekitar pukul 2.30 pagi.

Operasi dilakukan selepas mendapat maklumat daripada orang awam. Hasil intipan pihak polis,  seramai 10 orang suspek berumur lingkungan 17 hingga 36 tahun berjaya ditahan. Semua suspek yang ditahan akan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 81 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Selain itu, polis merampas wang tunai sebanyak RM38,000 dari salah sebuah kereta yang disita. Sebahagian wang tersebut dipercayai dijadikan sebagai taruhan lumba haram tersebut.  

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, DCP Datuk Azisman Alias memberitahu, sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua buah kereta serta dua buah motosikal turut disita.

Mengakui aktviti merempit semakin menular dalam kalangan remaja, Azisman mengumumkan bahawa pihaknya telah menubuhkan Unit Risikan Operasi JSPT (RO) Bukit Aman bagi membendung gejala itu.

“Penubuhan RO adalah strategi JSPT dalam menangani masalah samseng jalanan. Ia merangkumi kegiatan merempit, umba haram atau konvoi-konvoi hujung minggu yang menganggu ketenteraman orang awam,” katanya lagi. 

sumber: Astro Awani 

Mazda CX30
Tags
Google ads
Back to top button