
MASUK LALUAN TOL BERPALANG, MAT REMPIT KENA TAMPAR DENGAN PAK GUARD
Tindakan sekumpulan penunggang yang tidak melalui lorong motosikal, sebaliknya memasuki laluan tol berpalang nyata membuatkan seorang pengawal keselamatan naik angin.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dirakam oleh orang awam ketika melalui Plaza Tol Kampung Lekir Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Sitiawan, Perak.
Dalam klip video yang tular di laman sosial sejak semalam itu, beberapa buah motosikal berjaya melepasi laluan tol berpalang apabila ia ‘terbuka’. Manakala ada juga yang melalui bahagian tengah palang tol berkenaan.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan siren kecemasan di laluan bertol berbunyi, pemandu kereta terpaksa berhenti dan mengganggu laluan, sekali gus mengundang kemarahan mereka.

Berang dengan keadaan itu, seorang pengawal keselamatan dilihat menampar seorang penunggang motosikal tersebut. Walaupun tiada sebarang pergaduhan atau provokasi lanjut yang berlaku, keberanian pakcik itu harus dipuji.
Menurut pengawal keselamatan itu Mohammad Yahya, 58, dia hanya pukul sedikit sahaja untuk memberi pengajaran kepada penunggang motosikal itu dan rakannya yang lain kerana tidak mengendahkan arahan supaya menggunakan laluan yang disediakan.
Mohammad memberitahu kejadian itu berlaku pada 6.30 petang Ahad melibatkan lebih 50 penunggang motosikal yang dipercayai datang dari luar daerah Manjung.“Kami sudah melarang, malah cakap elok-elok sebelum sebahagian mereka akur dan lalu di laluan motosikal. Namun sebahagian lagi masih berdegil.
“Saya lihat mereka seolah-olah tidak takut dan sebab itu saya terpaksa tinggikan suara dan ‘cepuk’ seorang penunggang motosikal tetapi tidaklah kuat pun, tangan saya juga terkena topi keledar dia.
“Mungkin mereka beranggapan lebuh raya ini tidak sesak dengan kenderaan jadi boleh buat sesuka hati…. tidak boleh begitu, kita perlu ikut peraturan dan lorong yang betul.
“Lagipun sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengawal keselamatan di sini. Kalau dibiarkan saja sudah semestinya tidak elok dan kejadian sama boleh berulang atau ditiru orang lain pula,” katanya.
Mat rempit itu juga didakwa melakukan aksi wheelie selepas berjaya melepasi palang tol.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim memaklumkan pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian itu.
Bagaimanapun, polis mengambil maklum mengenai video yang tular terbabit. Namun setakat ini tiada maklumat dan laporan polis dibuat berkaitan kejadian itu.
sumber: Harian Metro