Buletin

LEAPMOTOR C10 PLUS DILANCARKAN – NIGHT EDITION, KUASA 299HP, HARGA BERMULA RM148K

Stellantis Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV elektrik segmen-D mereka, iaitu Leapmotor C10 PLUS, bersama edisi terhad C10 PLUS Night Edition.

Model baharu ini tampil dengan naik taraf signifikan dari segi prestasi dan kecekapan, dengan harga bermula RM148,000 (MSRP).

Jika sebelum ini C10 sudah dikenali sebagai SUV EV yang sarat teknologi, versi PLUS ini membawa lonjakan yang lebih jelas. Ia kini menggunakan platform 800V bersama bateri lebih besar berkapasiti 81.9kWh.

Hasilnya, jarak pemanduan meningkat kepada 510km (WLTP). Kuasa turut melonjak kepada 299hp dan 360Nm, berbanding 215hp dan 320Nm sebelum ini.

Pecutan 0-100 km/j kini dicapai dalam 6.2 saat — jauh lebih pantas untuk sebuah SUV keluarga.

Dari sudut kecekapan, penggunaan tenaga direkodkan pada 15.1 Wh/km. Pengecasan DC maksimum pula kini menyokong sehingga 180kW, membolehkan bateri dicas dari 30 ke 80 peratus dalam hanya 22 minit, bergantung kepada pengecas.

Menjengah ke ruang kabin, ia mengekalkan pendekatan minimalis moden dengan kemasan premium.

Material dalaman menggunakan fabrik silikon mesra bayi yang mendapat pensijilan OEKO-TEX® Standard 100.

Untuk pilihan warna, Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey digandingkan dengan dalaman hitam, manakala Glazed Green hadir eksklusif bersama dalaman Camel Brown.

Model ini akan mula berada di semua bilik pameran seluruh negara bermula Februari 2026.

C10 PLUS Night Edition: 50 Unit Sahaja

Bagi yang mahukan penampilan lebih agresif, C10 PLUS Night Edition ditawarkan terhad kepada 50 unit sahaja.

Ia tampil dengan kemasan dua tona bersama bumbung hitam, kit badan aerodinamik baharu serta rim 20-inci “Trident” berwarna hitam matte. Secara visual, ia jelas lebih sporty dan menonjol berbanding versi standard.

Night Edition ini ditawarkan pada harga tambahan RM8,000 berbanding C10 PLUS biasa.

Promosi & Jaminan

Bagi tempoh promosi sehingga 31 Mac 2026, pembeli boleh menikmati rebat RM9,000 untuk kedua-dua varian.

Pelanggan terawal turut menerima subsidi insurans tambahan RM4,000, menjadikan jumlah penjimatan keseluruhan sehingga RM13,000.

Dari segi jaminan, kenderaan ini didatangkan dengan waranti 6 tahun atau 150,000km (mana-mana dahulu), serta waranti bateri 8 tahun atau 160,000 km.

Orang ramai boleh melihat model ini secara dekat di LG2, Orange Concourse, Sunway Pyramid dari 27 Februari hingga 1 Mac 2026, jam 10 pagi hingga 10 malam.

Test drive juga boleh dibuat di pengedar sah Leapmotor seluruh negara.

Google ads
Back to top button