Artikel Pilihan

TOYOTA KERJA KERAS SIAPKAN FORTUNER SERBA BARU

Toyota kini sedang berusaha keras untuk menyiapkan satu lagi SUV generasi seterusnya untuk Fortuner, SUV lasak dengan platform ladder frame yang terkenal untuk pasaran Asia Tenggara. Prototaip yang sedang diuji dilihat di Thailand dengan penyamaran tebal, menandakan model ini bukan sekadar facelift tetapi pembaharuan yang lebih besar berbanding versi sekarang.

Toyota Fortuner generasi sekarang sudah berada dalam pasaran sejak 2015 dan walaupun sudah menerima kemas kini pertengahan hayat sekitar 2020, jadi model baharu memang sudah lama dinantikan. Apatah lagi model ini sudah dihentikan jualan di beberapa pasaran seperti Australia

Walaupun begitu, model akan datang tetap mengekalkan casis ladder frame IMV sama seperti yang digunakan pada trak pikap Hilux. Ini kerana Toyota memilih pendekatan yang telah terbukti dan dipercayai, bukannya mencipta semula asasnya dari awal.

Walaupun dibalut dengan pelekat samaran, kita boleh melihat reka bentuk luaran Fortuner yang dilihat lebih segar dengan penggunaan lampu depan LED yang lebih nipis, bampar yang lebih tegak dan gril sarang lebah yang diletakkan lebih rendah iaitu elemen yang sama digunakan pada Hilux terkini.

Ada juga kemungkinan lampu hadapan bakal menggunakan unit LED berpisah (split LED). Bahagian sisi masih mengekalkan rekaan kontur SUV 3 barisan tempat duduk yang dikenali, tetapi bahagian belakang pula dijangka dilengkapi lampu belakang lebar penuh, pintu tailgate yang direka semula, dan bampar baru.

Walaupun foto kabin belum pun bocor, kita boleh menjangkakan bahawa bahagian dalaman akan menggunakan inspirasi rekaan dan komponen dari model Hilux dan juga Toyota Land Cruiser Prado yang membawa susun atur lebih moden dan teknologi terkini.

Antara ciri yang dijangka ialah paparan skrin digital besar, kemungkinan dua skrin bersaiz 12.3 inci pada varian atas, butang dan tombol kawalan fizikal untuk fungsi utama, dan rekaan stereng yang lebih mantap. Toyota juga dijangka akan meningkatkan sistem keselamatan aktif seperti pakej sistem ADAS yang lebih komprehensif.

Dari sudut mekanikal, generasi baru Fortuner dijangka masih menggunakan enjin sama seperti model sekarang, dengan enjin turbodiesel 2.8 liter dengan sistem mild-hybrid yang menghasilkan sekitar 204 PS dan 500 Nm, serta pilihan pacuan belakang atau 4WD bergantung pada pasaran.

Tiada versi EV dirancang walaupun Hilux baru ditawarkan dalam varian EV buat masa ini kerana pengguna Fortuner biasanya mengutamakan jarak pemanduan dan ketahanan, dan bukan elektrifikasi penuh. Toyota dijangka akan melancarkan model generasi baharu Fortuner ini pada akhir 2026, bermula dengan Thailand sebelum kemudian diperluaskan ke pasaran Asia Tenggara yang lain sebelum dijual ke Australia

Google ads
Back to top button