Buletin

LEBIH PRAKTIKAL, TOYOTA HILUX BAHARU BAWA CIRI UNIK

Toyota Hilux generasi baharu dijangka memasuki pasaran Jepun menjelang musim panas tahun ini.

Walaupun ia kekal sebagai trak pikap yang dibangunkan untuk kegunaan lasak dan profesional, pendekatan terbaharu Toyota jelas menunjukkan Hilux kini mahu tampil lebih moden, praktikal dan mesra gaya hidup.

Dari segi reka bentuk, Hilux baharu membawa imej yang lebih dekat dengan sebuah SUV moden. Bahagian kabin pula dilaporkan menerima sentuhan premium yang seiring dengan model seperti Land Cruiser 250 dan Land Cruiser FJ, sekali gus menjadikannya lebih menarik untuk pengguna urban dan pasaran Jepun.

Namun begitu, identiti teras Hilux sebagai kenderaan tahan lasak untuk persekitaran mencabar tetap dikekalkan.

Seperti generasi sebelumnya, Hilux masih menawarkan fleksibiliti penggunaan yang luas. Ia boleh disesuaikan mengikut keperluan pemilik, sama ada dipadankan dengan kanopi, digunakan untuk membawa peralatan kerja, atau dimanfaatkan untuk aktiviti santai seperti perkhemahan dan sukan musim sejuk.

Cuma, satu cabaran biasa bagi trak pikap ialah proses mengambil atau menyusun barangan di ruang kargo, yang selalunya memerlukan pengguna membuka pintu belakang dan naik ke atas pelantar.

Menariknya, Toyota dilihat telah memikirkan solusi praktikal untuk isu ini. Hilux baharu dilengkapi dengan ciri unik berupa tangga terbina dalam, yang memudahkan akses ke ruang kargo tanpa perlu melalui pintu belakang sepenuhnya.

Berdasarkan imej yang didedahkan, tangga ini ditempatkan di sisi badan kenderaan, tepat di belakang tayar belakang.

Ciri ini mungkin kelihatan ringkas, namun sangat berguna untuk tugasan harian seperti mengambil barangan kecil atau peralatan dengan lebih pantas.

Ia juga sesuatu yang jarang dilihat pada trak pikap sebelum ini, dan menonjolkan bagaimana Hilux terus berevolusi – kekal lasak, tetapi kini lebih pintar serta praktikal untuk pelbagai gaya hidup.

Google ads
Back to top button