
DAIHATSU MOVE 2025 DILANCARKAN DI JEPUN – EMPAT VARIAN, HARGA BERMULA SEKITAR RM40K
Daihatsu secara rasmi melancarkan Move generasi ketujuh di Jepun, membawa nafas baharu kepada kereta kompak kegemaran ramai dalam segmen kei car.
Ditawarkan dalam empat varian, harga Move baharu ini bermula dari 1,358,500 yen hingga 2,024,000 yen, bersamaan sekitar RM40,000 hingga RM60,000.
Dari segi dimensi, Kei Car ini hadir dengan panjang 3,395mm, lebar 1,300mm, tinggi 1,655mm dan jarak antara roda sepanjang 2,460mm.

Dibina atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), reka bentuk luaran Move kini tampak lebih segar dan moden. Bahagian depan menampilkan bampar berbentuk-X, dipadankan dengan lampu utama tirus bersambung ke gril atas. Lampu belakang menegak pula seiring dengan garisan tali pinggang yang naik mendadak berhampiran cermin belakang besar.
Menambah lagi daya tarikan, pelanggan boleh memilih antara dua pakej gaya, iaitu Dandy Sports dengan kemasan gelap bergaya sporty, dan Noble Chic yang mengetengahkan sentuhan elegan melalui trim berwarna tembaga.
Ciri baharu diperkenalkan pada Move kali ini adalah pintu gelangsar di bahagian belakang – satu peningkatan praktikal, terutamanya dalam ruang parkir sempit. Bahagian dalamannya masih mengekalkan susun atur serupa dengan model sebelumnya, tetapi beberapa pembaharuan jelas kelihatan.

Antaranya, panel kawalan pendingin hawa kini digital sepenuhnya, ruang storan bawah corong udara tengah telah diperbesarkan untuk memuatkan pengecas telefon tanpa wayar, dan ruang atas laci penumpang kini terbuka tanpa penutup.
Reka bentuk stereng juga telah dikemas kini, dan terdapat beberapa ruang simpanan kecil baharu di sudut papan pemuka. Untuk hiburan, terdapat pilihan skrin sentuh bersaiz sembilan dan 10-inci, disertai dengan pelbagai aksesori tambahan.
Mengikut pilihan varian, pembeli boleh memilih antara dua enjin 658cc, satu versi aspirasi semula jadi (NA), satu lagi dengan pengecas turbo.

Enjin NA menghasilkan kuasa sebanyak 51hp pada 6,900rpm dan tork 60Nm pada 3,600 rpm, manakala versi turbo pula menawarkan 63hp pada 6,400rpm dan tork lebih tinggi, 100Nm pada 3,600rpm. Kedua-duanya digandingkan dengan transmisi CVT, dengan pilihan pacuan hadapan atau semua roda.
Dari segi keselamatan, Daihatsu Move dilengkapi sistem bantuan pemandu (ADAS) yang merangkumi sehingga 17 fungsi, antaranya brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dan kawalan jelajah adaptif. Kebanyakannya ditawarkan sebagai ciri standard. – Paultan
- BACA: McLAREN 750S LE MANS EDISI ISTIMEWA DENGAN HANYA 50 UNIT MENJADI REBUTAN
- BACA: BOLEH KE GUNA BATERI ASID BIASA PADA KERETA YANG ADA START/STOP?
- BACA: KUASA LEBIH, GAYA LEBIH BUAS – TOYOTA MAHU TAMBAH KUASA GR COROLLA DAN GR YARIS!
- BACA: BYD SEAL O6 EV BAKAL DILANCARKAN DI CHONGQING AUTO SHOW – JARAK GERAK 545KM, JANA 215HP