Buletin

LELAKI CURI TESLA MODEL 3 GUNA APLIKASI TELEFON PINTAR – BERJAYA DITANGKAP KERANA CAKAP BESAR

Seorang lelaki dilaporkan berjaya melarikan sebuah Tesla Model 3 dengan hanya menggunakan sebuah aplikasi telefon bimbit dan sedikit kemahiran teknikal.

Insiden itu berlaku di sebuah syarikat sewa kereta Teslas, Trevls di pusat membeli-belah Mall of America di Bloomington, Minnesota, Amerika Syarikat.

Pelaku ialah salah seorang pelanggan tetap Trevls yang dikendalikan oleh pemiliknya, John Marino. Marino mula mengetahui kegiatan lelaki tersebut apabila dia bercakap besar tentang bagaimana mudahnya untuk mencuri kereta Tesla.

Selain itu, bukti paling penting ialah rakaman CCTV yang menyaksikan dia masuk ke dalam Trevls dan keluar dengan memandu sebuah Model 3 tanpa membuat sebarang pembayaran.

“Kami mengesyaki dia kerana dia suka cakap besar. Dia tahu tentang kereta dan sistem keselamatannya, serta mempunyai keupayaan untuk mencuri,” kata Marino.

Suspek didakwa ‘memperdayakan’ aplikasi Tesla supaya mengenal pasti dia sebagai pemilik Model 3, sebelum membuka dan menghidupkan kereta tersebut. Dia kemudian menyahaktifkan jejakan GPS kenderaan dengan anggapan sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

Sedangkan setiap kali kereta itu dicaj, lokasi dikesan oleh Tesla dan polis berjaya mengesannya. Suspek kemudian ditahan tiga hari selepas itu ketika dalam perjalanan ke Texas untuk berjumpa dengan pembeli berpotensi.

“Tesla bukanlah kereta yang hendak anda curi. Jumlah data yang dikumpul oleh Tesla sebenarnya agak menakutkan,” kata pakar forensik komputer, Mark Lanterman.

Google ads
Back to top button