Pandu Uji

PANDU UJI: TOYOTA C-HR – BELI SEBAB RUPA ATAU ADA PAKEJ YANG SEMPURNA?

Selain trak pikap Hilux dan sedan Vios, tidak banyak produk Toyota yang benar-benar mendapat perhatian pengguna di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Keadaan itu bagaimanapun dilihat berubah 180 darjah apabila UMW Toyota Motor mula memberi hint bahawa ia akan membawa masuk SUV kompak, CH-R ke pasaran tempatan sekitar lewat tahun 2016 lagi.

Keterujaan orang ramai terhadap SUV itu bukan main-main. Buktinya, apabila ia membuat penampilan pertama pada acara Carlist.my MAA Drive, Test & Buy Event 2017 (Mac 2017), pengunjung sanggup bersesak-sesak untuk melihatnya secara dekat.

Pada masa itu, kami nak ambil gambar pun azab. Kiri kanan depan belakang ada orang yang sibuk nak tengok C-HR.

Keterujaan itu nampaknya terus meningkat apabila sebuah laman jual beli kenderaan, mymotor.my memperkenalkan versi lebih berkuasa 1.2 liter turbo. Kalau nak tahu, mymotor ialah anak syarikat MYEG, tetapi boleh pula lancar C-HR lebih awal (unit recon), harga pun meninggal jugak lah.

BACA: MYMOTOR BAWA MASUK TOYOTA C-HR 1.2 TURBO – HARGANYA TINGGI MENGGAPAI AWAN

Mahal pun tetap laku

Harus diakui jentera yang dibangunkan di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) itu mempunyai reka bentuk menarik. Sekali gus membezakannya dengan pesaing-pesaing sedia ada di pasaran seperti Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Renault Captur.

Biarpun begitu, harus tahu bahawa C-HR yang nama penuhnya Compact High Rider atau  Cross Hatch Run-about itu memiliki dimensi lebih besar berbanding kedua-dua crossover tersebut.

Didatangkan dalam hanya satu varian dengan enjin aspirasi biasa bersesaran 1.8 liter dan pada harga setinggi RM145,500 seunit, itu tidak menghalang pemuja Toyota untuk membelinya.

Ketika C-HR rasmi dilancarkan pada awal tahun 2018, lebih 1,500 tempahan telah diterima. Pada Mac, sebanyak 50 unit C-HR yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand itu diserahkan kepada pemilik terawal.

Jadi, orang yang beli C-HR ini mungkin tidak kisah sangat pasal harga atau sebagainya, janji dia suka. Tak jauh beza dengan orang yang nak bawa skuter, tetapi beli Vespa. Macam tu lah kiranya.

Platform TGNA + enjin N/A 1.8 liter

CH-R merupakan kenderaan kedua yang dibangunkan di atas platform TNGA selepas Prius generasi keempat. TGNA memberi lebih fleksibiliti dari segi reka bentuk, rangkaian kuasa dan dinamik pemanduan.

Inilah yang menjadi punca kenapa ia mampu menjadi sebuah crossover yang lincah di atas jalan raya. Harus tahu juga bahawa CH-R mempunyai titik graviti paling rendah dalam kelasnya. Jadi, anda akan rasa kurang olengan badan terutama ketika melayan selekoh dan menukar haluan.

Penggunaan platform TGNA membolehkan enjin aspirasi biasa bersesaran 1.8 liter dipasang pada sudut sedikit ke belakang. Jujur kata, enjin dengan kuasa 140PS dan tork 171Nm itu tidaklah terlalu berkuasa dan boleh memberikan anda keterujaan setiap kali pedal minyak ditekan.

Namun begitu, rangkaian kuasa tersebut dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang, sama ada di lebuh raya atau ketika menempuh kesesakan jalan raya.

Enjin 2ZR-FBE itu dipadankan dengan kotak gear CVT dengan Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan. Harus diakui bahawa kotak gear ini cukup lancar, responsif dan senyap. Anda boleh menukar kedudukan gear secara manual menerusi tuil gear untuk pemanduan lebih sporty.

Pemandu turut ditawarkan dengan tiga mode pemanduan iaitu ECO, NORMAL dan SPORT. Hanya boleh dipilih menerusi butang kawalan pada stereng, saya lebih gemar memandu dalam mode normal sahaja. Ia sudah memadai untuk saya menilai keupayaan crossover ini secara keseluruhannya.

Reka bentuk mantap

Apabila model konsep C-HR mula didedahkan pada tahun 2014, reka bentuk yang radikal itu pantas mendapat pujian ramai. Rekaan dengan titik graviti dan bumbung rendah itu membuatkannya nampak lebih lebar serta garang.

Dengan tema seni bina permata, jadi tidak hairanlah anda boleh melihat garis-garis tajam di mana-mana. Gayaan sebuah coupe diserlahkan lagi menerusi hendal pintu belakang yang ‘disorokkan’ pada tiang C berwarna hitam. Nampak kemas, tetapi mungkin kurang praktikal untuk kanak-kanak membuka pintu belakang.

Rekaan seperti itu juga menyebabkan tingkap belakang menjadi agak kecil. Mungkin boleh membuatkan orang yang ada masalah claustrophobic macam saya mudah berasa rimas.

Berada di tempat duduk pemandu, anda dihidangkan dengan bentangan papan pemuka yang moden dan futuristik. Falsafah reka bentuk permata itu diteruskan ke dalam ruang kabin menerusi kemasan pada pintu dan papan pemuka.

Anda akan dihiburkan dengan sistem infotaimen DVD-AVX Toyota yang dipadankan bersama enam unit pembesar suara dan skrin sentuh bersaiz tujuh inci. Sistem itu menawarkan ciri pemain DVD, wifi, pelayan internet, pengecaman suara, serta ketersambunagan HDMI, USB dan Bluetooth.

Bagi memberikan rasa yang mewah, ruang ini hadir dengan tona hitam pada sebahagian besar kawasannya. Tempat dudukyang sporty itu juga dilbalut kulit berwarna hitam.

Padat ciri keselamatan

Selain kerangka TGNA, Toyota tidak lokek untuk memasang pelbagai ciri keselamatan moden pada CH-R. Sebagai permulaan, jentera itu dilengkapi tujuh beg udara SRS, brek ABS dengan ciri Vehicle Stability Control dan Traction Control didatangkan sebagai ciri standard.

Selain itu, aspek keselamatan dipertingkatkan lagi dengan adanya ciri Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang melengkapkan lagi paparan kamera undur. Bagi mengelak insiden pelanggaran dengan kenderaan lain ketika menukar haluan, sistem Blind Spot Monitoring (BSM) dapat membantu pemandu.

Sebagaimana saya nyatakan di awal tadi, CH-R dilihat berjaya menceriakan kembali barisan kenderaan yang ditawarkan oleh UMW Toyota. Ia bukanlah volume seller atau mampu dimiliki oleh semua orang, namun apa yang pasti, CH-R sememangnya ada aura untuk membuatkan ramai orang suka kepadanya. 

GALERI

Google ads
Back to top button