Buletin

LELAKI MABUK JADI INDIVIDU PERTAMA DIDENDA INGKAR ARAHAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Seorang lelaki mabuk dan enggan memberi kerjasama kepada pasukan polis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dituduh dan didenda di Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak.

S. Punniamurthy, 33, dikenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara 10 bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Norhabsarina Ayob selepas mengaku bersalah.

Di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang menjadi individu pertama dikenakan hukuman kerana melanggar arahan PKP itu didakwa menghalang tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput (U), Juna Yusoff bertempat di Taman Orkid, Sungai Siput pada 10 malam, 20 Mac.

Menurut fakta kes, Juna memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis. Beliau kemudian meminta tertuduh untuk mengeluarkan MyKad selepas mendapati lelaki tersebut mabuk di tepi jalan.

Namun, Punniamurthy enggan bekerjasama dan menolak Juna. Keadaan itu memaksa beberapa anggota polis untuk menahan dan membawa lelaki tersebut ke balai.

Timbalan Pendakwaraya, Jean Siow Chung Hwei meminta mahkamah untuk menjatuhkan hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada rakyat Malaysia supaya mematuhi PKP.

Tertuduh diwakili oleh peguam Nurul Hanis Mohd Zaini daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). Hanis memohon hukuman lebih ringan kerana tertuduh ialah penjaga ibunya dengan pendapatan hanya RM1,500 sebulan tidak mempunyai rekod jenayah.   

Hanis juga memberitahu tertuduh telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama. – NST

Tags
Google ads
Back to top button