Buletin

LELAKI WARGA ASING CAMPAK 3 ANAK DI MMR2, KEMUDIAN TERJUN BUNUH DIRI

Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar disyaki membuang tiga orang anaknya dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kepong yang menyebabkan dua daripada kanak-kanak itu terbunuh manakala seorang cedera parah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian pada pukul 5.50 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun itu kemudian bertindak membunuh diri dengan terjun dari lokasi sama di MRR2.

“Salah seorang anak mangsa membabitkan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun manakala  dua lagi kanak-kanak lelaki belum diketahui.

“Maklumat setakat ini polis mengesyaki lelaki yang membunuh diri itu adalah bapa kepada ketiga-tiga kanak-kanak malang berkenaan,” katanya.

Kejadian itu diterima daripada seorang saksi. Ketika polis tiba, lelaki itu dan tiga kanak-kanak itu ditemui terbaring di tepi jalan berhampiran lampu isyarat Desa Jaya.

Menurut Eng Lai, tiga beranak itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara seorang kanak-kanak lelaki itu mengalami kecederaan parah dan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Selayang. 

Mayat semua mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. 

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat Baldev Singh di talian 012-4806062 untuk membantu siasatan. – Utusan Malaysia

Google ads
Back to top button