Buletin

MITSUBISHI TRITON PHEV BAKAL MUNCUL 2023. 84KM SEKALI CAJ, PENJIMATAN 1.5L/100KM?

Mitsubishi Triton yang akan datang dilapor bakal hadir dengan rangkaian kuasa plug-in hybrid buat kali pertama. Jentera itu didakwa berpotensi untuk menewaskan model-model trak pikap popular di Australia seperti Ford Ranger, Toyota Hilux, Isuzu D-Max dan Nissan Navara.

Media Jepun melaporkan Triton PHEV pada asasnya akan membuktikan hala tuju model masa depan Mitsubishi dalam usaha memenuhi piawaian emisi terkini di Australia dan di seluruh dunia.

Laman web Jepun Spyder7 melaporkan bahawa Triton PHEV yang menggunakan rangkaian kuasa sama seperti Outlander PHEV bakal membuat debut pada tahun 2023.

Outlander PHEV baharu menggunakan pek bateri lithium-ion 20.0kWh, meningkat daripada 13.8kWh pada model lama. Motor elektriknya mampu menawarkan kuasa sekitar 85kW di depan dan 100kW pada gandar belakang yang dipadankan bersama pacuan semua roda (AWD).

Sistem PHEV berkenaan dipasang dengan enjin petrol bersesaran 2.4 liter aspirasi biasa yang mampu menghasilkan kuasa 248hp dan tork 450Nm.

Trak pikap itu menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 84km pada kitaran NEDC dan penjimatan bahan api sebanyak 1.5 liter setiap 100 kilometer, berbanding 1.9l/100km untuk model lama.

Varian PHEV dijangka menjadi sebahagian daripada tawaran daripada Mitsubishi di pasaran global. Manakala varian dengan enjin diesel tradisional tetap akan ditawarkan seperti biasa pada tahun 2023.

“Jika anda melihat pasaran trak pikap secara amnya, jelas sekali dalam dekad ini akan ada pelbagai bentuk elektrifikasi. Sejak hari pertama, elektrifikasi telah menjadi sebahagian daripada rancangan untuk Triton generasi baharu,” kata Pengurus Kanan Strategi Produk Mitsubishi Motors Australia, Owen Thomson.

Google ads
Back to top button