
5 AGENSI UMRAH DIDAKWA BOLOT TIKET PENERBANGAN KE TANAH SUCI, JUAL SEMULA PADA HARGA CECAH RM5K
Berita Harian baru-baru ini melaporkan bahawa terdapat lima agensi umrah di negara ini telah membolot tiket penerbangan ke Tanah Suci. Perkara tersebut menjadi antara punca kos mengerjakan umrah naik mendadak sejak kebelakangan ini.
Berdasarkan kepada pengiraan semasa, harga tiket penerbangan umrah hanya sekitar RM2,700 hingga RM2,800 tetapi agensi umrah terbabit didakwa telah menetapkan harga sekitar RM4,800 hingga RM5,000.
“Mereka hanya membayar sekitar 10 peratus deposit untuk membeli keseluruhan tiket bagi satu penerbangan. Ini menyebabkan agensi umrah yang kecil tak dapat beli terus tiket dengan syarikat penerbangan kerana semua tempat duduk sudah dibolot,” kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Berdasarkan maklumat diterima, sekurang-kurangnya 120,000 tiket penerbangan ke Tanah Suci dijual semula dalam tempoh setahun sebelum ini.
Terdapat juga laporan mendakwa ada bakal jemaah terpaksa mengatur semula perjalanan berikutan pembatalan pada saat akhir, selain perlu mengeluarkan kos ribuan ringgit.
“Situasi memang makin meruncing kerana apabila ada syarikat umrah ambil kesempatan menjual semula tiket penerbangan dengan harga tinggi, maka syarikat penerbangan antarabangsa lain akan turut ambil langkah sama,” jelas Razali.
Beliau menggesa kerajaan serta syarikat penerbangan mengambil tindakan serta menyiasat perbuatan monopoli tiket penerbangan umrah kerana ia akan menyebabkan kos semakin meningkat sekiranya situasi semasa tidak dikawal.
Menurut beliau, PAPUH sebelum ini pernah mengemukakan masalah tersebut kepada kementerian berkaitan, namun tiada tindakan susulan diambil sehingga kini.
Selain PAPUH, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) akan membincangkan isu kenaikan harga pakej umrah. – Berita Harian







