
LITAR BASAH UJI PELUMBA, LOKE YIN YI DAN IMRAN ISKANDAR KUASAI SKILLDRVN OMR PUSINGAN KE-2
Kejuaraan SKILLDRVN OMR 2026 Musim 4 terus memanaskan saingan apabila Pusingan Kedua berlangsung penuh dramatik di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, sekali lagi menyaksikan aksi sengit melibatkan pelumba-pelumba muda tempatan dalam perlumbaan satu jenama Suzuki Swift.
Selepas aksi pembukaan musim yang kompetitif, pusingan kedua menyaksikan perebutan mata kejuaraan semakin rancak dengan 10 jentera Suzuki Swift bersaing dalam kategori Pro Series dan OMR Series.
Format One Make Race terus menjadi pentas penting pembangunan bakat baharu sukan permotoran negara menerusi persaingan seimbang yang menuntut kemahiran, konsistensi serta strategi perlumbaan terbaik daripada setiap pelumba.
Dalam sesi kelayakan, sistem “success ballast” sekali lagi memainkan peranan penting apabila tiga pelumba terbaik dari Pusingan 1 membawa tambahan berat pada jentera masing-masing bagi memastikan persaingan kekal rapat sepanjang musim.

Pelumba Team Ultra Racing, #331 Loke Yin Yi dan #512 Imran Iskandar masing-masing membawa tambahan 15kg, manakala #168 Vox Lim serta #704 Rafin Ghaith Danial membawa 10kg. Pelumba Profimax Racing Team, #27 Andy Boey pula dikenakan tambahan 5kg.
Biarpun berdepan cabaran tersebut, Loke Yin Yi tampil cemerlang dalam kategori Pro Series apabila mendominasi sesi kelayakan sejak awal.
Beliau berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu di hadapan Vox Lim dan Andy Boey sebelum masalah teknikal memaksa Andy tercicir ke belakang. Loke Yin Yi akhirnya meraih kedudukan pertama kelayakan diikuti Vox Lim dan #888 XiaoLong.
Dalam kategori OMR Series pula, Imran Iskandar meneruskan prestasi konsisten apabila menguasai sesi kelayakan dari mula hingga tamat untuk meraih petak utama, meninggalkan #791 Chee Fong di tempat kedua dan Rafin Ghaith Danial di tempat ketiga.

Perlumbaan pertama berlangsung dengan permulaan “rolling start” dan menyaksikan persaingan rapat sebaik memasuki selekoh pertama Sepang.
Dalam Pro Series, Loke Yin Yi berjaya mempertahankan kedudukan pendahulu walaupun menerima tekanan berterusan daripada Vox Lim, Andy Boey dan XiaoLong.
Pertarungan perebutan podium semakin menarik di pertengahan perlumbaan apabila Vox Lim berjaya memintas Andy Boey untuk mengambil alih tempat kedua.
Namun drama berlaku apabila Andy mengalami masalah teknikal yang menamatkan cabarannya untuk podium. Situasi itu membuka ruang buat XiaoLong menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Loke Yin Yi akhirnya meraih kemenangan pertama hujung minggu tersebut di hadapan Vox Lim dan XiaoLong.
Dalam OMR Series, Imran Iskandar sekali lagi mempamerkan aksi dominan apabila mengetuai perlumbaan dari lampu hijau hingga ke garisan penamat.
Chee Fong kekal memberi tekanan sepanjang perlumbaan, namun Imran berjaya mempertahankan kedudukan untuk muncul juara, manakala Rafin Ghaith Danial melengkapkan podium di tempat ketiga.
Perlumbaan kedua pula hadir dengan cabaran lebih sukar apabila pelumba berdepan permulaan statik pertama musim ini di atas litar basah. Walaupun hujan sudah berhenti sebelum perlumbaan bermula, keadaan trek yang lembap dan licin menguji keupayaan semua pelumba.
Sebaik lampu hijau menyala, Loke Yin Yi, XiaoLong dan Imran Iskandar melakukan permulaan cemerlang untuk meninggalkan kelompok belakang. Vox Lim pada mulanya berjaya mempertahankan tempat kedua sebelum dipintas XiaoLong pada pusingan kelima di Selekoh 1.
Namun Vox Lim bangkit semula dan berjaya merampas kembali kedudukan kedua pada pusingan kelapan sebelum nasib malang menimpanya apabila terpaksa menarik diri akibat masalah teknikal pada pusingan kesembilan.
Dalam perlumbaan sama, #62 Joshua Lee turut terbabas sebelum kembali meneruskan perlumbaan manakala #42 Elwen Lau gagal menamatkan saingan akibat kerosakan mekanikal.
Dalam kategori OMR Series, Imran sekali lagi tampil konsisten walaupun trek dalam keadaan sukar. Beliau turut mencatat masa terpantas perlumbaan dengan catatan 3:02.083 sebelum menamatkan perlumbaan sebagai juara, meninggalkan Rafin Ghaith Danial di tempat kedua.
Secara keseluruhan, Pusingan Kedua SKILLDRVN OMR 2026 Musim 4 membuktikan kejuaraan itu terus berkembang sebagai antara platform perlumbaan akar umbi paling kompetitif di Malaysia.
Persaingan sengit, keadaan cuaca mencabar serta aksi roda ke roda sepanjang hujung minggu memberikan hiburan berkualiti kepada peminat sukan permotoran tempatan.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja termasuk ELF, Bendix, Profimax, Ultra Racing, Lifestyle Motorsports, ZX1, Senarco Oil, KJ Brake Performance dan Giti atas sokongan berterusan dalam membantu pembangunan sukan permotoran akar umbi negara.
Dengan kedudukan kejuaraan kini semakin rapat selepas dua pusingan, baki musim dijangka terus menjanjikan aksi lebih mendebarkan apabila setiap mata bakal menjadi penentu dalam perebutan gelaran musim 2026.

