
ZXMOTO LANCAR 820RR-R DI CHINA – 145HP, 85NM
ZXMOTO baru-baru ini telah pun melancarkan varian lebih tinggi dalam keluarga 820RR menerusi 820RR-R di Cihina.
ZXMoto 820RR-R merupakan varian yang lebih tinggi berbanding 820RR yang ditawarkan di Malaysia.

Menariknya, varian baharu ini bukan dibezakan dengan spesifikasi semata-mata malah kuasa yang terhasil dari enjin tiga silinder 818.8cc itu lebih tinggi dengan 145hp pada 13,500rpm dan 85Nm pada 10,000rpm. Untuk rekod, varian standard menawarkan 135hp dan 80Nm. Nisbah mampatan pada 820RR-R ini juga lebih tinggi dengan 13.3:1 berbanding 13.0:1.
Menurut ZXMoto, 820RR-R ini juga dilengkapi dengan sistem Ram-Air yang menyumbang pertambahan 3hp pada kelajuan 180km/j.

Bahagian kerangka juga berbeza dengan 820RR-R mengguna pakai casis aluminium aloi pada kerangka utama dan subframe jenis magnesium. Namun begitu model RR-R ini dilengkapi dengan tangki 16L berbanding 18L pada varian standard.
Hasilnya, 820RR-R ini lebih ringan dengan 186kg berbanding 193kg yang ditawarkan 820RR.
Dalam pada itu, model RR-R ini juga dilengkapi dengan pakej suspensi KYB 43mm dengan DLC sementara brek pula terdiri dari Brembo M50 berbanding TAISKO.

Saiz tayar belakang juga lebih besar dengan 200/55-17 berbanding 190/55-17 pada model standard.
Sementara itu, meter TFT 6.2-inci pada 820RR-R ini turut dilengkapi dengan GPS dan T-Box secara standard.

Bagi pasaran China, 820RR-R ini ditawarkan pada harga CNY61,980 (RM37.2k) sementara Champion Edition (yang dilengkapi dengan grafik pasukan ZXMoto Factory di WorldSSP) dijual pada harga CNY65,980 (RM39.6k).
GALERI: ZXMOTO 820RR-R















