Artikel Pilihan

TOYOTA G20E: ENJIN 4 SILINDER 600HP PENGGANTI 2JZ

Apabila Toyota memperkenalkan prototaip GR Yaris M Concept pada awal tahun ini, ramai peminat automotif memberi tumpuan kepada kedudukan enjinnya yang dipasang di bahagian tengah. Namun di sebalik rupa luaran yang agresif itu, perhatian jurutera di seluruh dunia sebenarnya lebih kepada enjin baharu yang diberi kod G20E.

Sekali imbas, ia mungkin kelihatan seperti sebuah enjin empat silinder turbo biasa. Namun semakin banyak maklumat didedahkan oleh Toyota Gazoo Racing, semakin jelas bahawa G20E bukan sekadar pengganti kepada enjin-enjin prestasi sedia ada. Malah G20E dibangunkan dengan falsafah yang mengingatkan peminat kepada enjin lagenda Toyota, iaitu 2JZ.

Beberapa jurutera Toyota sendiri mengakui bahawa enjin ini direka dengan mengambil kira potensi pembangunan jangka panjang, termasuk keupayaan menghasilkan kuasa jauh lebih tinggi daripada spesifikasi asal lantas mengingatkan kita pada enjin 2JZ

Sudah tentu perbandingan ini bukan dibuat secara sewenang-wenangnya. Enjin 2JZ-GTE yang diperkenalkan pada era 1990-an dianggap sebagai antara enjin paling ikonik dalam sejarah automotif. Dengan blok besi yang sangat kukuh, sistem dalaman yang mampu menampung kuasa tinggi serta potensi talaan yang hampir tiada had, enjin tersebut menjadi pilihan utama peminat prestasi di seluruh dunia.

Tidak keterlaluan jika dikatakan populariti Toyota Supra generasi A80 banyak dibina atas reputasi enjin tersebut. Namun dunia automotif hari ini sudah jauh berubah. Piawaian emisi yang semakin ketat memaksa pengeluar menghasilkan enjin yang lebih kecil, ringan serta cekap menggunakan bahan api.

Walaupun G20E hanya mempunyai kapasiti 2.0 liter dengan konfigurasi empat silinder sebaris, ia dibangunkan sebagai platform prestasi yang mampu memenuhi pelbagai keperluan pada masa hadapan.

Dalam konfigurasi standard, Toyota menyasarkan kuasa sekitar 400 hingga 450 hp, angka yang sudah cukup tinggi bagi sebuah enjin empat silinder produksi. Paling menarik ialah kenyataan jurutera Toyota sendiri bahawa angka tersebut bukanlah had sebenar kemampuan G20E.

Dengan penggunaan pengecas turbo yang lebih besar serta talaan yang bersesuaian, enjin ini mempunyai potensi untuk menghasilkan lebih daripada 600 hp. Angka tersebut bukan kuasa standard yang akan ditawarkan kepada pengguna, sebaliknya menunjukkan margin kejuruteraan yang telah dibina sejak awal proses pembangunan.

Inilah yang membezakan G20E daripada kebanyakan enjin moden. Lazimnya, pengeluar akan mereka bentuk sesuatu enjin supaya cukup memenuhi sasaran prestasi, kos pengeluaran dan piawaian emisi.

Margin tambahan biasanya diminimumkan bagi mengurangkan berat serta kos pembuatan. Toyota pula dilihat mengambil pendekatan sebaliknya dengan membina ruang untuk peningkatan prestasi pada masa hadapan.

Salah satu aspek paling menarik ialah reka bentuk blok enjinnya. Menurut jurutera Toyota, G20E menggunakan jarak antara silinder (bore spacing) yang lebih besar berbanding kebanyakan enjin empat silinder moden. Keputusan ini mungkin kelihatan remeh, namun dari sudut kejuruteraan ia membawa pelbagai kelebihan.

Jarak silinder yang lebih besar membolehkan diameter silinder diperbesarkan pada masa hadapan tanpa menjejaskan kekuatan struktur blok enjin. Dalam dunia modifikasi prestasi, proses ini dikenali sebagai overbore, iaitu meningkatkan kapasiti enjin dengan membesarkan diameter silinder.

Ruang tambahan antara silinder turut membolehkan penggunaan dinding silinder yang lebih tebal, sekali gus meningkatkan ketahanan terhadap tekanan pembakaran yang jauh lebih tinggi. Reka bentuk over engineered sebegini mengingatkan ramai kepada falsafah pembangunan 2JZ dahulu.

Toyota bukan sahaja membina enjin untuk memenuhi spesifikasi asal, malah menyediakan margin keselamatan yang besar supaya enjin tersebut mampu menerima peningkatan kuasa tanpa menjejaskan kebolehpercayaan.

Sebab itulah 2JZ masih mampu menghasilkan kuasa melebihi 1,000 hp dalam dunia perlumbaan dan modifikasi ekstrem sehingga hari ini. Toyota turut mendedahkan bahawa G20E direka supaya boleh dipasang dalam pelbagai konfigurasi kenderaan.

Berbeza dengan kebanyakan enjin yang dibangunkan khusus untuk satu platform, G20E boleh digunakan dalam susunan enjin hadapan atau enjin tengah, selain sesuai untuk sistem pacuan roda hadapan, pacuan roda belakang mahupun pacuan semua roda.

Fleksibiliti rekaan ini memberikan kebebasan kepada Toyota untuk membangunkan pelbagai model prestasi tanpa perlu menghasilkan enjin baharu bagi setiap platform. Pendekatan tersebut dapat dilihat menerusi GR Yaris M Concept yang menggunakan konfigurasi enjin tengah.

Walaupun ramai menganggap ia sekadar kereta konsep untuk menarik perhatian pengunjung Tokyo Auto Salon, hakikatnya Toyota sedang menguji pelbagai aspek kejuruteraan seperti sistem penyejukan, pengagihan berat, susunan transmisi dan pembungkusan komponen.

Semua ini memberi bayangan bahawa G20E mungkin akan menjadi nadi kepada banyak model prestasi Gazoo Racing pada masa hadapan. Antaranya ialah generasi baharu GR Supra, selain kebangkitan semula nama Celica dan MR2 yang sudah lama menjadi bualan peminat Toyota.

Tidak mustahil juga enjin ini akan digunakan pada GR86 generasi akan datang atau model-model prestasi lain dalam keluarga Gazoo Racing. Jika dibandingkan dengan pesaing, G20E bakal memasuki pasaran yang sangat kompetitif.

Mercedes-AMG ketika ini mempunyai enjin M139 2.0 liter turbo yang dianggap antara enjin empat silinder produksi paling berkuasa di dunia, manakala Honda pula terkenal dengan K20C yang digunakan pada Civic Type R. Volkswagen mempunyai EA888, sementara Hyundai terus membangunkan enjin prestasi untuk model N mereka.

Namun apa yang membezakan G20E ialah falsafah pembangunannya. Toyota bukan sekadar mengejar angka kuasa tertinggi, sebaliknya mahu menghasilkan sebuah enjin yang mempunyai potensi pembangunan untuk tempoh yang panjang.

Halatuju pembangunan Toyota masih melabur dalam pembangunan enjin pembakaran dalaman turut mencerminkan strategi syarikat itu yang sering digelar sebagai multi-pathway approach.

Berbeza dengan sesetengah pengeluar yang memberi fokus sepenuhnya kepada kenderaan elektrik, Toyota percaya masa depan industri memerlukan gabungan pelbagai teknologi termasuk enjin pembakaran dalaman yang lebih cekap, sistem hibrid, hidrogen serta kenderaan elektrik bateri.

Dalam konteks itu, G20E bukan sekadar sebuah enjin baharu, tetapi simbol bahawa Toyota masih melihat potensi besar dalam teknologi pembakaran dalaman, khususnya bagi model prestasi.

Dengan asas kejuruteraan yang kukuh, fleksibiliti pemasangan, margin talaan yang tinggi serta kemampuan menghasilkan lebih 600 hp dalam konfigurasi tertentu, tidak hairanlah ramai menganggap G20E sebagai pengganti moden kepada 2JZ.

Google ads
Back to top button