
LORENZO BERTELLI MENYEWA TOYOTA GR YARIS RALLY1 DI SWEDEN. SIAPAKAH MAMAT NI?
Nama Lorenzo Bertelli ini pasti cukup asing di kalangan peminat sukan rali. Tapi di dalam sektor korporat dan dunia fesyen, nama ini barangkali agak popular juga. Emak kepada Lorenzo Bertelli ini, Miuccia Bianchi Prada adalah merupakan Ketua Pereka bagi jenama Prada sekali gus menjadi pemilik kepada jenama fesyen yang cukup terkenal di Itali. Manakala ayah beliau, Patrizio Bertelli merupakan jutawan merangkap CEO Bersama Kumpulan Prada.
Walau pun terlibat dalam dunia korporat dan fesyen, namun minat Lorenzo Bertelli ini adalah pada dunia rali. Cumanya beliau harus memilih dengan cermat, di mana dan bilakah beliau mahu beraksi dalam aksi rali.

Lorenzo Bertelli yang berusia 34 tahun ini dijangka mengambil bahagian dalam aksi di pusingan kedua FIA WRC di Rally Sweden. Sebetulnya Lorenzo Bertelli ini giat berlumba di pentas WRC semenjak tahun 2015 lagi, termasuklah beraksi dalam kelas WRC secara pemandu persendirian. Maklumlah, duit banyak.
Pemuda kelahiran Milan, Itali ini bakal menyewa Toyota GR Yaris Rally1 untuk berlumba di permukaan bersalji. Lorenzo Bertelli telah pun memulakan aksi rali pertama di Rally d’Italia Sardegna pada tahun 2011 sebelum memulakan aksi penuh semusim dalam kelas PWRC pada tahun 2012. Menariknya Toyota GR Yaris Rally1 ini bakal menggunakan livery yang tersendiri, menggunakan warna Green Army sebagai asas.
Mungkin ada yang berkata bahawa beliau ini anak orang ada ada mungkin boleh ceburi bidang apa sahaja. Tapi sebenarnya beliau juga berbakat dalam sukan rali. Pada tahun 2013, Ketika memandu Ford Fiesta dalam kelas WRC2 beliau berjaya menduduki tempat ketiga dalam kelas di Sardinia. Kemudiannya beliau pernah berlumba secara semusim penuh menggunakan Ford Fiesta RS WRC pada tahun 2015 bagi menguji kemampuan. Beliau masih berupaya mencatatkan keputusan yang baik dan mencatatkan keputusan terbaik tempat ke 10 sewaktu di Finland dan juga di Great Britain.

Kerjaya beliau dalam WRC diteruskan pada musim 2016 termasuklah mendapat tempat kelapan ketika berlumba di Mexico. Cuma pada tahun 2017, Lorenzo Bertelli telah dilantik sebagai Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Prada yang mengakibatkan beliau harus melupakan seketika berlumba di WRC akibat kesibukan tugasan hakiki. Dan beliau hanya berlumba secara separuh masa sahaja. Sempatlah berlumba satu dua perlumbaan. pada ketika itu sehinggalah ke sekarang ini menggunakan jentera Ford Fiesta RS WRC dengan menggunakan livery yang sama.
Malah pada tahun sudah beliau juga memandu jentera Ford Puma Rally dan beraksi di Rally New Zealand dengan keputusan tempat ketujuh keseluruhan. Suatu keputusan yang cukup memberangsangkan. Mungkinkah berlumba di Sweden nanti beliau dapat beraksi dengan baik?
BACA : PARODI PANDU UJI KERETA RALI “HYUNDAI R5, TOYOTA YARIS WRC & TOYOTA GR YARIS RALLY1
BACA : PAKAR PEMBUAT KERETA RALI DARI POLAND – EVOLVE MOTORSPORT

