Buletin

KESILAPAN DALAM BUKU MANUAL, SUBARU PANGGIL SEMULA LEBIH 4,600 MODEL WRX 2022

Subaru akan memanggil semula lebih 4,600 model WRX 2022 kerana terdapat maklumat yang tidak betul diterbitkan dalam buku manual. Subaru mulai menyedari kesilapan maklumat tersebut pada Oktober lalu.

Menurut National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), manual tersebut mengandungi arahan tidak tepat untuk melaras sensitiviti lampu tinggi. Perkara itu boleh menyebabkan kereta melanggar undang-undang keselamatan jalan raya.

Subaru, bagaimanapun mengatakan bahawa penarikan semula itu hanya melibatkan unit WRX yang memiliki ciri bantuan lampu tinggi.

Melalui kenyataan Subaru, penarikan semula itu tidak memerlukan pelanggan untuk menghantar kepada pusat servis, tetapi Subaru akan menghantar sisipan maklumat yang tepat kepada pelanggan terjejas.

Subaru telah mereka bentuk semula WRX untuk model 2022 dengan platform serta enjin baharu. Ia juga hadir dengan casis lebih tegar berbanding sebelum ini.

WRX didatangkan dengan ciri standard seperti Apple CarPlay, Android Auto serta sambungan Bluetooth. Beberapa penambahbaikan turut dilakukan pada kabin WRX 2022.

Subaru WRX dikuasakan oleh enjin 2.4-liter turbo boxer 4-silinder, peningkatan daripada enjin 2.0-liter. Enjin tersebut mampu menjana 271hp dan tork 349Nm. Kuasa itu kemudian dihantar ke semua roda melalui sistem AWD dengan pilihan kotak gear manual 6-kelajuan atau CVT.

Google ads
Back to top button