
PERODUA AXIA 2023 LANCAR PERTENGAHAN FEBRUARI. GALAK PEMBELI TUKAR KEPADA AXIA BAHARU
Perodua Axia serba baharu akan dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Februari 2023. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, tempahan kereta kompak tersebut sudah dibuka mulai hari ini.
Axia 2023 yang menggunakan kod nama D74A itu akan ditawarkan dalam empat varian iaitu G, X, SE dan AV. Kereta kompak kegemaran rakyat Malaysia itu boleh anda miliki pada harga bermula RM38,600 hingga RM49,500 seunit.
Seperti yang sudah dijangka, jentera berkenaan tidak mengunakan ejin turbo. Sebaliknya, semua varian dijana oleh enjin 1.0 liter aspirasi biasa (NA) berkuasa 67PS dan tork 91Nm. Enjin dengan sistem DCVT itu kemudian dipadankan dengan kotak gear baharu D-CVT yang sama seperti Ativa.
Presiden dan Ketua Pegawai eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad pada sidang media Perodua 2023 Outlook di Kuala Lumpur memalumkan bahawa kini pihaknya menggalakkan pembeli Axia yang masih belum menerima kereta mereka supaya menukar kepada Axia baharu.
Ini kerana pengeluaran Axia lama sudahpun dihentikan dan model baharu menawarkan penjimatan dan ciri yang lebih baik.
Zainal turut menyatakan Perodua kini mempunyai sekitar 220,000 unit tempahan tertangguh yang masih belum diserahkan kepada pelanggan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 15,000 tempahan dibuat sebelum tempoh pengecualian cukai jualan (SST) tamat. Jelas Zainal, jika kereta itu tidak dapat diserahkan pada 31 Mac 2023, Perodua akan menyerap kos SST berkenaan.