Buletin

LOT PARKIR DI BOSTON DIJUAL PADA HARGA RM165 JUTA

Sebuah lot parkir di bandar Boston, Massachusetts Amerika Syarikat dilapor telah dijual pada harga AS$40 juta (RM165 juta). 

Lot parkir yang terletak di selekoh jalan Newbury dan Dartmouth itu dibeli oleh sebuah firma pelaburan dari Chicago. Tanah yang dimiliki oleh sebuah keluarga lebih 100 tahun itu hanya seluas 14,520 kaki persegi sahaja. 

Pembelinya, L3 Capital yang pakar dalam bidang pembangunan runcit berjaya mengalahkan banyak pembida lain. Menurut mereka yang tahu tentang bidaan itu, L3 Capital tidak bercadang untuk menyimpan lot parkir itu dalam tempoh yang lama. 

Sebaliknya, L3 Capital dikatakan bakal membina sebuah bangunan dengan ruang perniagaan, pejabat dan kondominium. Lot itu akan berada di wilayah membeli-belah mewah.

Walaupun perancangan spesifik belum diumumkan, L3 Capital perlu mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Seni Bina Back Bay dan majlis perbandaran sebelum sebarang kerja-kerja dimulakan. 

Tapak itu asalnya menempatkan sebuah pangsapuri, sebelum tuan tanah meruntuhkannya pada tahun 1950-an dan menjadi satu ruang parkir yang luas. 

“Jalan Newbury telah muncul sebagai salah satu lokasi membeli-belah, pejabat dan tempat tinggal yang terbaik di Boston. Jadi, tapak ini pasti akan dibangunkan untuk tujuan berkenaan,” kata pengarah kanan dari firma hartanah JLL Ben Sayles.  

Harga hartanah di Boston dilihat semakin melambung, buktinya pada Ogos tahun lalu, satu plot tanah seluas seekar dijual pada harga AS$50.5 juta (RM209 juta). 

Google ads
Back to top button