Buletin

LTSIP BAKAL JADI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA 2024. LIBATKAN KOS RM440 JUTA

Kelantan bakal memiliki lapangan terbang bertaraf antarabangsa apabila projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu siap menjelang 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata apabila siap, LTSIP mampu menampung sehingga 4 juta penumpang pada satu-satu masa.

“Apabila sesebuah lapangan terbang menjadi lapangan terbang antarabangsa, ia perlu ada ruang untuk menempatkan pegawai imigresen dan lain-lain.

“Kota Bharu pernah kendali penerbangan antarabangsa dan ia memberi kesan sampingan positif kepada ekonomi di Kelantan,” kata Mustapa. Mustapa berkata demikian selepas meninjau projek pembesaran LTSIP, di sini, petang semalam.

Sebelum ini pun, ada penerbangan luar negara seperti ke Singapura dan Medan, namun disebabkan kurang permintaan, difahamkan operasinya difahamkan terpaksa dihentikan dan laluan berkenaan ditutup.

“Maka untuk kali ini pun kita tiada masalah dan bersedia untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa sekali lagi. Kita juga ada penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu. Alhamdulillah, ia banyak membantu memudahkan pergerakan pelajar dan mereka yang bekerja di sana,” katanya.

Projek pembesaran LTSIP yang menelan belanja RM440 juta ini merupakan lapangan terbang domestik ketiga tersibuk dengan pengendalian lebih 30 penerbangan setiap hari sebelum wabak COVID-19. Projek berkenaan sepatutnya dimulakan pada 2018, namun tertangguh.

Antara ruang yang terlibat dalam naik taraf berkenaan adalah balai ketibaan, balai pelepasan dan terminal.

Projek pembesaran LTSIP melibatkan pembesaran terminal bagi meningkatkan keupayaan penumpang, ruang parkir kenderaan sehingga 1,300 buah daripada 300 buah ketika ini dan pembinaan 11 jambatan udara. – Astro Awani, Sinar Harian

Google ads
Back to top button