Buletin

ISUZU D-MAX ARCTIC TRUCKS AT35, GANAS WEH!

Persaingan segmen pikap memang menarik untuk diperhati dan diikuti. Persaingan di antara pengeluar menyaksikan pelbagai model ditawarkan kepada pengguna dengan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Selain digunakan sebagai kenderaan lasak, pikap pada hari ini sudah menjadi kenderaan gaya hidup.

Dari situ pengeluar menawarkan pelbagai varian dari jenis asas sehingga yang bergaya dengan kit badan untuk meredah hutan konkrit.

Walau apa pun gayaannya, asas kepada pikap ialah untuk kegunaan lasak dan ini yang diserlahkan oleh Isuzu UK dengan memperkenalkan D-Max Arctic Trucks AT35.


Model pra pengeluaran ini dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Komersial 2021 (CV Show) yang berlangsung di Birmingham, United Kingdom dari 31 Ogos hingga 2 September.

D-Max hasil kerjasama Isuzu UK dan Arctic Trucks ini benar-benar menyerlah dan tampak lengkap untuk dibawa ke mana sahaja.

Arctic Trucks adalah nama besar di dalam dunia kenderaan lasak dan bukan kali pertama kedua-dua syarikat bekerjasama untuk mengeluarkan edisi khas D-Max.

Syarikat ini memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam membangunkan kenderaan untuk pelbagai kegunaan dari pertahanan hingga ekspedisi ke tempat paling terpencil di dunia.

Pikap D-Max Arctic Trucks AT35 dilengkapi pelbagai naik taraf seperti casis yang diperkukuhkan, suspensi Bilstein Performance dan paling jelas ialah tayar all-terrain dan roda saiz 35 inci. 

Pikap ini digerakkan enjin 1.9L diesel turbo berkuasa 162 hp dan tork 360 Nm. Ada dua pilihan transmisi iaitu enam kelajuan manual dan enam kelajuan automatik.

Meski dibina untuk kegunaan lasak, Isuzu dan Arctic Trucks tidak mengabaikan ciri-ciri keselesaan dan kemudahan buat pemilik.

Bahagian dalam pikap ini dilengkapi kemasan kulit, skrin sentuh sembilan inci, sambungan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay, slot HDMI, kawalan suhu dua zon dan empat pembesar suara dengan subwoofer.    

Identiti eksklusif pikap D-Max Arctic Trucks AT35 diserlahkan lagi melalui penyandar kepala dengan logo Arctic Truck, karpet lantai, pelindung ambang pintu dan pemijak sisi.  

Pikap ini dilengkapi sistem bantuan pemanduan canggih seperti Pengecaman Papan Isyarat Jalan, Pengekalan Laluan Kecemasan (Emergency Lane Keeping), Amaran Pelanggaran Berdepan dan Brek Kecemasan Autonomi dalam memastikan keselamatan pemandu. 

Turut dilengkapi ialah penggilap cermin depan automatik, kamera undur dan sensor parkir.

Pikap D-Max Arctic Trucks AT35 yang dipertontonkan di CV Show ini adalah unit prototaip dan jualan sebenar akan ditawarkan bermula 14 Februari 2022.

Kepada yang berkenan, pikap istimewa ini adalah projek Isuzu UK dan mustahil ia turut ditawarkan di pasaran tempatan.

BACA >>> ISUZU D-MAX 2021. 7 VARIAN, PILIHAN ENJIN 1.9L DAN 3.0L, ADAS, BERMULA RM88,599

BACA >>> SEGALANYA TENTANG ENJIN ISUZU 4JJ3-TCX. 188 KUASA KUDA & 450NM TORK

BACA >>> 9 PERKARA YANG TAK RAMAI TAHU PASAL ISUZU D-MAX

Google ads
Back to top button