
PERMINTAAN MENURUN, LUCID MULA TAWAR DISKAUN UNTUK SESETENGAH MODEL EV MEWAH
Memulakan perniagaan dengan menyasarkan pasaran yang kecil mungkin sekali satu tindakan yang tidak bijak, terutama bagi syarikat-syarikat pengeluar pemula (start-up).
Seperti contoh, Lucid kini mula menawarkan diskaun dan insentif bagi menarik minat orang ramai membeli model EV mereka.
Laporan Barrons menyebut syarikat itu telah pun menghantar emel kepada sebilangan pelanggan yang telah membuat tempahan tapi masih belum membeli EV Lucid.

Dalam emel tersebut, pelanggan akan ditawarkan diskaun sebanyak 10 peratus, membolehkan mereka membeli sebuah Lucid Air Grand Touring pada harga jualan asal $139,000, berbanding harga jualan pada ketika ini $154,000.
Malah, Lucid turut menawarkan diskaun sehingga $18,000 kepada pekerja mereka yang ‘berminat untuk memandu Lucid Air setiap hari’, dan ia akan dikreditkan ke dalam pembayaran gaji pada kadar $1,000 setiap bulan.
Ini menunjukkan bahawa permintaan pasaran terhadap Lucid semakin menurun, sehingga menyebabkan Lucid terpaksa menawarkan diskaun untuk menarik minat pembeli berpotensi.
Sementara itu dalam pasaran terpakai, ada kereta elektrik Lucid yang disenaraikan pada harga 92 peratus jauh lebih rendah berbanding harga asal. – Barrons








