Buletin

MAHU LARI DARI PEMERINTAHAN TALIBAN, LAPANGAN TERBANG KABUL HURU-HARA

Lapangan Terbang Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan berada dalam keadaan huru-hara selepas ribuan rakyat dan warga asing berusaha untuk keluar dari negara yang bergolak itu, selepas ia jatuh ke dalam tangan pejuang Taliban. 

Antara video yang menunjukkan orang ramai berasak-asak di atas sebuah tangga untuk cuba menaiki pesawat dikongsi oleh Ketua Biro Asia Selatan BBC, Nicola Careem di laman Twitter. “Ini mungkin salah satu imej yang paling menyedihkan pernah saya lihat di Afghanistan. Manusia yang terdesak dan ditinggalkan. Tiada agensi bantuan, tiada PBB, tiada kerajaan. Tiada,” kata Careem. 

Para penumpang dilihat cuba untuk masuk ke pesawat Kam Air milik syarikat penerbangan swasta Afghan yang menawarkan penerbangan ke destinasi domestik, Asia Barat dan Asia. Lebih memburukkan keadaan, semua penerbangan komersial yang ingin keluar dari Kabul kini dibatalkan. 

Orang ramai juga memenuhi kawasan lapangan terbang untuk mencari pesawat yang boleh mereka naiki. Kekecohan yang tidak terkawal itu menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh. Malah, pasukan tentera Amerika terpaksa melepaskan tembakan ke udara dalam usaha menyuraikan orang ramai.

Kedutaan asing mengeluarkan amaran bahawa tidak selamat untuk pergi ke lapangan terbang dan hanya dibenarkan ke sana jika mendapat arahan.   

Setiausaha Pertahanan UK, Ben Wallace memberitahu lapangan terbang Kabul dibahagikan kepada dua bahagian iaitu tentera dan komersial. Amerika Syarikat mengambil alih bahagian tentera dan mengutamakan proses penghantaran kakitangan kedutaannya. 

Kerajaan Amerika juga dilihat cuba untuk membantu kakitangan tempatan dan keluarga mereka untuk keluar dari Afghanistan dalam beberapa hari lagi. Kebanyakan penumpang tersebut dibawa ke sana dengan menaiki helikopter. 

“Kami akan mempercepatkan usaha mengeluarkan ribuan rakyat Afghan yang layak untuk menerima Visa Imigran Khas AS. Hampir 2,000 orang sudah selamat sampai di AS sejak dua minggu lalu,” jelas jabatan pertahanan AS dalam satu kenyataan.  

Seorang penganalisis data, Massouma Tajik, 22, merupakan antara ribuan rakyat Afghanistan yang menunggu pesawat untuk dinaiki. “Saya lihat ramai yang menangis. Mereka tidak tahu sama ada dapat menaiki pesawat atau tidak. Saya pun sama,” katanya dengan suara panik. 

Kebimbangan terhadap gaya pemerintahan Taliban yang ultra-konservatif membuatkan rakyat beratur panjang di mesin ATM untuk mengeluarkan wang. 

Pada Ahad, Taliban berjaya menguasai bandar Jalalbad tanpa mendapat tentangan daripada tentera kerajaan. Ini membolehkan mereka menguasai laluan lebuh raya yang menghubungkannya dengan Pakistan. Pejuang Taliban juga memasuki istana presiden dan mengisytiharkan perang sudah tamat.  

Presiden yang dilantik, Ashraf Ganis dilapor melarikan diri lebih awal ke Tashkent dan mendakwa mahu mengelakkan berlakunya lebih banyak pertumpahan darah. 

Google ads
Back to top button