Motosikal

YAMAHA BANGUNKAN PENGHASIL BUNYI UNTUK MOTOSIKAL ELEKTRIK

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai di antara kita menunggang motosikal kerana sukakan bunyi yang keluar daripada ekzosnya. Jadi, tidak keterlaluan jika dikatakan bunyi menjadi sebahagian elemen penting buat peminat motosikal di seluruh dunia. 

Namun, revolusi motosikal yang kini perlahan-lahan memasuki era motor elektrik membuatkan zaman mendengar bunyi enjin/ekzos semakin singkat hayatnya. Menyedari hakikat itu, Yamaha dilapor sedang sibuk membangunkam penghasil bunyi berteknologi tinggi untuk motosikal elektrik. 

Yamaha sememangnya ada kelebihan kerana ia pakar dalam menghasilkan alat muzik. Biarpun begitu, tugas untuk menghasilkan rangkaian bunyi yang meniru ritma enjin konvensional bukanlah mudah. 

Serius dengan matlamat tersebut, Yamaha telah membentuk satu divisyen khas untuk tugas berkenaan. Pasukan jurutera bunyi yang dikenali sebagai Alive setuju bahawa bunyi memang satu elemen penting dalam pengalaman tunggangan. Bunyi bukan sahaja membuatkan penunggang rasa terhubung dengan jentera, malah memberikan rasa kelajuan, sekali gus meningkatkan kepekaan mereka untuk mengawal motosikal. 

Salah seorang jurutera bunyi Yamaha, Hideo Fujita memberitahu soundscape mampu menghasilkan bunyi yang jauh lebih mengujakan berbanding bunyi enjin biasa. “Kalau hendak bunyi seperti Star Wars? Boleh, tiada masalah,” kata Fujita. 

Selepas ini, kalau anda henda motosikal elektrik berbunyi seperti Chewbacca mengilai setiap kali pendikit dipulas pun boleh. Apa pun, saya tidak rasa ramai yang akan puas mendengar bunyi artificial ini berbanding deruman enjin pembakaran dalaman. Betul tak? 

Google ads
Back to top button