Buletin

RAIKAN KEMENANGAN, PEJUANG TALIBAN MAIN BUMPER CAR, MERRY-GO-ROUND, TRAMPOLINE

Ketika ribuan warga Afghanistan menyerbu lapangan terbang antarabangsa Kabul kerana terdesak untuk keluar dari negara bergolak itu, lain pula yang berlaku pada sekumpulan tentera Taliban. 

Mereka yang lengkap berserban dan memegang senapang dilihat menghiburkan diri di sebuah taman permainan di Kabul. Berdasarkan kepada video yang dikongsi oleh wartawan kanan Reuters, Hamid Shalizi, mereka kelihatan begitu gembira bermain bumper car.  

Dalam video yang dikongsi oleh portal berita Perancis, Mediavenir, pejuang Taliban dilihat menaiki sebuah merry-go-round.

Kemudian lebih banyak video dikongsi di laman Twitter oleh seorang wartawan bebas, Asaad Hanna yang menunjukkan beberapa orang pejuang Taliban bergelak ketawa sambil melompat di atas sebuah trampoline. 

Video lain pula menunjukkan beberapa orang tentera Taliban mencuba peralatan senaman yang ada di dalam gimnasium di Istana Presiden. Video-video berkenaan nyata mendapat perhatian ramai apabila ada di antaranya ditonton lebih sejuta kali. 

Taliban menguasai Afghanistan dari tahun 1996 hingga 2001 sebelum disingkirkan oleh tentera asing yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS). Menurut laporan Foreign Policy, AS telah membelanjakan sebanyak AS$83 bilion (RM352 bilion) untuk melatih pasukan keselamatan Afghanistan dalam usaha mempertahankan negara mereka daripada dikuasai semula oleh Taliban. 

Selepas hampir 20 tahun berjuang, Taliban akhirnya berjaya menguasai Kabul pada Ahad lalu, susulan Presiden AS Joe Biden mengarahkan tenteranya supaya berundur dari Afghanistan. Dengan kejayaan itu, pemimpin Taliban mengumumkan perang di Afghanistan sudah tamat. 

Isnin lalu, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani melarikan diri ke Tashkent, sekali gus menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Taliban. – Insider   

Google ads
Back to top button