Pandu Uji

PANDU UJI TRAK PIKAP : TOYOTA HILUX – THE KING

Bagaimana nak tahu sesuatu produk itu berjaya atau tidak boleh dilihat menerusi kesan jenama terhadap pasaran. Ramai yang tak sedar bahawa dalam produk seharian, kita sebenarnya memberi kata nama am pada produk yang sebenarnya adalah satu jenama khusus.

Sebagai contoh, Tupperware – sebenarnya merujuk kepada bekas simpanan plastik secara umum. Tahukah anda Ping Pong sebenarnya ialah jenama papan tenis meja (yang juga kita sebut sebagai sukan ping pong)

Begitu juga dengan nama Jet Ski, sebenarnya ialah produk Kawasaki. Rollerblade – ialah jenama, ia sepatutnya disebut roller skate dan jaket yang kadangkala kita panggil Windbreaker itu sebenarnya satu jenama jaket yang telah dikeluarkan oleh Celebration Trading.

hilux (6)

Pernah tak dengar orang kata, “Senang kan bawak Hilux macam Navara ni, tinggi dan mudah parking atas divider pun boleh”

Aneh? Tidak. Itulah anekdot jenama terhadap produk. Tapi dalam kes Toyota Hilux, ia bukan sahaja kesan jenama teradap produk, ia benar-benar sebuah produk yang bagus.

Balik ke tahun-tahun awal penghasilan model ini pada era 60-an, Hilux ialah sebuah pikap “single cab” yang dibina sebagai asas pengangkutan lasak. Ketika itu, ia ibarat sebuah lori kecil dengan kelebihan pacuan 4 roda. Hanya selepas tahun 1980, barulah Hilux datang dengan cab berkembar, pilihan titik graviti tinggi dan enjn-enjin yang lebih besar.

hilux (10)

Ia sebuah pikap lasak 4X4 yang menguasai ladang dan kawasan pembalakan sejak 80-an hingga ke hari ini. Anda mungkin pernah baca artikel kami bagaimana seorang pengguna dihadiahkan dengan sebuah kereta baru kerana pikap Toyota Tundra beliau mencatat perjalanan 1 juta batu. Tundra (dan Tacoma) adalah asas kelahiran daripada Hilux – khusus untuk pasaran Amerika Syarikat.

Ini adalah model terbaru generasi ke lapan (bergantung dari garis masa mana yang dipilih). Model ini menggantikan Hilux VIGO, kerana di sebelah Sabah, mereka cenderung mengikut terma Thailand. Model baru ini juga dikenali sebagai Hilux REVO.

hilux (2)

Berbeza dengan pengeluar trak lain seperti Ranger, Navara, DMAX dan Triton, Hilux hanya menggunakan satu nama sejak dari zaman paleolitik. Ia merupakan nama paling lama digunakan bersama-sama Corolla dan Land Cruiser.

Toyota juga sangat penakut. Anda boleh tengok pengeluar lain menukar model pikap purata setiap 5 tahun tetapi Toyota selamba sahaja pakai platform sama sampai 10-11 tahun. Model VIGO sebelum ini keluar dari tahun 2004 sampai 2015, satu casis dengan 2 kali facelift. Pelik kan?

Tidak. Toyota tak akan mengikut perkembangan teknologi semasa sebab mereka percaya dengan falsafah, lebih ringkas lebih bagus. Kalau tak rosak, jangan tukar!

hilux (8)

Sebab itu bagi pembeli yang memilih pikap sebagai kenderaan urban akan meletakkan Hilux Vigo bukan di senarai teratas. Hilux sebelum ini mungkin sesuai untuk masuk ladang atau untuk geng Taliban di padang pasir. Ia tak ada gadjet atau ciri menarik pun. Kalau tak caya, cuba masuk dalam kabin Hilux Vigo dan bandingkan dengan kabin Ranger T6.

Mungkin bergelut dengan pasaran yang semakin “demanding”, akhirnya, Toyota terpaksa akui, mereka perlu hasilkan produk yang mesra bandar berbanding mesra belukar. Generasi Hilux baru ini melakukan semuanya yang perlu untuk menentang saingannya yang semakin di depan (dari segi teknologi). Dari segi jualan, sebenarnya Hilux purba itu masih merupakan pikap yang paling laris (walaupun cuma facelift weh!).

hilux (9)

Model baru ini telah berubah 100 peratus dari konsep Hilux asal. Ia tak lagi kelihatan sebuah pikap untuk kumpulan IS atau perlu pakai kasut but berlumpur dan pandu ke ladang. Masuk sahaja ke dalam kabinnya, saya boleh katakan instrumentasinya dibina menarik, benar-benar menarik.

Papan pemukanya sangat berbeza dengan mana-mana pikap (atau kereta penumpang sekalipun). Susunan kolum hanya ada 2 bahagian. Pemandu dan tiada konsol tengah, terus bawa ke bahagian penumpang.

hilux (16)

Pelaras sistem 4WD sedikit tersorok di bahagian kiri suis penghawa dingin yang mana saya rasa perlu diletakkan jauh kerana logiknya anda mungkin hanya gunakan suis ini sekali sebulan. Atau mungkin tak pernah guna langsung.

Ini ialah varian 2.8G. Ia dipasangkan dengan enjin generasi baru 1GD-FTV yang mampu menghasilkan 177ps dan tork 450Nm. Ia ada kuasa secukupnya dan sewaktu memerah enjin memanjat RPM, saya dapat rasakan formula enjin Toyota Hilux sudah mula mendapat rentak baru.

hilux (12)

Dengan sistem transmisi automatik 6 kelajuan baru itu juga, enjin ini memecut lancar di lebuhraya. Ia bukan sahaja berkuasa, malah kabin kereta ini cukup senyap. Saya tak pasti samada enjin ini benar-benar diformulasikan untuk Db rendah atau kabin Hilux baru ini benar-benar bagus tahap NVH nya. 3 tahun lepas, saya pernah ujipandu Hilux, dia punya bising jangan tanya. Lepas test drive, terus saya call orang Ford – beli Ranger!

Ia bukan sahaja senyap dan berkuasa (malah lebih berkuasa dari enjin D-4D 3.0 1KD sebelum ini), pengendalian Hilux ini sangat tidak Hilux. Jika anda biasa dengan sifat sebuah pikap casis frame “ladder”, ia akan rasa melantun-lantun, keras dan susah menduga kawalan sterengnya.

hilux (7)

Hilux baru ini cukup selesa untuk piawai sebuah pikap. Saya kira, jika anda beralih dari sebuah kereta dan memandu Hilux pun tak akan rasa perubahan besar. Sudut stereng, komposisi kerusi terhadap panorama cermin hadapan direka hampir untuk semua jenis pemandu. Sensitiviti stereng terhadap roda, sudut putaran dan olengan badannya memang mendapat talaan sebuah pikap urban.

Cuma perkara yang tidak bagus apabila ramai pemandu trak tidak faham sifat sebuah trak. Lihat sahaja di lebuhraya, mereka memandu trak macam sebuah Nissan GTR. Pikap tidak boleh berhenti sepantas sebuah kereta sport dalam kelajuan yang sama. Kadang-kadang bawa kargo berat tapi memecut macam hilang akal. Sebab tu bila eksiden jadi kuih samperit. Beban di belakang akan meluncur ke depan.

hilux (5)

Saya juga beberapa kali “diarah” ketepi di laluan kanan lebuhraya untuk beri laluan pada trak dengan kelajuan lebih 130km/j. Tambah mengerikan lagi, yang memotong tu waktu hujan dan dia pakai tayar MT.

Pada pandangan saya, Hilux ini bukan lagi sebuah pikap yang anda rasa akan jumpa untuk masuk hutan sebaik sahaja keluar pusat pameran, kecuali untuk varian single cab atau varian asas yang pastinya akan banyak mengangkut sayur di Cameron Highlands.

hilux (21)

Model 2.8G ini didatangkan dengan hampir semua ciri premium sebuah trak. Saya suka dengan rekaan lampu depannya yang kelihatan gagah bila mengapit jeriji radiator krom di tengah. Lampu ini dibekalkan dengan pencahayaan projektor LED dah satu garis panjang DRL.

Model tertinggi ini juga menampilkan Multi Information Display (MID) di bahagian kluster meter, pemain audio 2 DIN dengan kamera undur dan 6 pembesar suara.  Semua kerusi dibalut kulit dan di bahagian pemandu dilaras dengan elektrik. Ia turut disertakan dengan kemasukan tanpa kunci dan mendapat “tinted” Toyota Security & Solar yang dijamin menepati spesifikasi undang-undang. Saya pun tak perasan ada filem pada cermin pikap ini, nampak terang-terang saja.

hilux (17)

Dari segi keselamatan, semua varian didatangkan dengan fungsi brek anti kekunci (ABS). Model premium dipasang bersama Kawalan Stabiliti Kenderean (VSC), Kawalan Traksi Aktif (A-TRC), Sistem bantu mendaki (HAC) dan 7 airbag, Ya 7 beg udara.

Terdapat 6 Varian Hilux yang diperkenalkan oleh UMW Toyota dengan 2 pilihan enjin. Model yang anda lihat ini ialah varian tertinggi 2.8G. Berikut adalah senarai harga bagi setiap varian;

SINGLE CAB 2.4 (MT) 4X4              RM 89,900

DOUBLE CAB STD 2.4 (MT) 4X4   RM 99,900

DOUBLE CAB 2.4 (MT) 2X4            RM 91,900

DOUBLE CAB 2.4G (MT) 4X4        RM 109,900

DOUBLE CAB 2.4G (AT)                  RM 121,900

DOUBLE CAB 2.8G (AT)                  RM 133,900

Adakah berbaloi membeli trak Hilux ini? Nah, ini persoalan yang sangat subjektif. Pertama, bergantung kepada keperluan. Sebagus mana pun sebuah trak itu, ia tetap sebuah trak. Ia tak akan selesa macam sebuah kereta.

hilux (14)

Saya menggunakan trak sejak 2003 untuk keperluan kerja. Trak pertama saya sebuah Ford Ranger tahun 2001 yang dibeli terpakai. Kenapa tidak Hilux? Sebab harga terpakainya sangat arwah. Ranger tersebut dijual pada 2005 dan saya beli sebuah Mazda Fighter (kembar Ranger) pada tahun 2010. Kedua-dua trak tersebut ialah trak tradisional. Bising, lembap, tapi untuk punggah barang hampir 1 tan, takkan nak bawa naik Alza?

Kemudian saya beli Ranger T6 2.2 pada tahun 2013 sebab Mazda Fighter 2.5 tadi sudah mencecah batuan 400,000km. Tidak ekonomikal kalau dibandingkan dengan enjin-enjin spesifikasi Euro generasi moden.

hilux (1)

Kini Hilux datang kembali dengan imej RAJA trak yang baru. Dengan pengaruh kuat jenama Hilux, kualiti dan ketahanan yang terbukti, Hilux tidak susah untuk memujuk orang untuk membelinya.

Spesifikasinya mungkin tidak menang dari semua segi jika dibandingkan dengan Triton, Dmax, Navara 300 dan Ranger tetapi ia seperti Tupperware. Banyak mana pun saingannya pun isteri anda tetap nak simpan koleksi Tupperware. Kan?

Google ads
Back to top button