Buletin

MALAYSIA AIRLINES AKAN PERKENAL SISTEM PENGESAN SATELIT TERBARU

Tiga tahun lepas, dunia dikejutkan dengan bukan satu tetapi dua tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS). Kehilangan pesawat MH370 yang gagal ditemui sehingga sekarang dan MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine.

Dua tragedi ini merupakan satu tamparan hebat buat MAS yang merupakan satu nama besar dalam industri penerbangan. Kini MAS mengambil langkah drastik dengan memajukan lagi sistem pengesan pesawat dengan penggunaan teknologi terbaharu. Mereka berharap untuk menukarkan persepsi yang mengaitkan nama mereka dengan peristiwa kehilangan kapal terbang.

BACA: ANTONOV 225 PESAWAT TERBESAR DUNIA DI KLIA

BACA: INILAH KEMEWAHAN PESAWAN DIRAJA ARAB SAUDI

Syarikat penerbangan Malaysia ini juga merupakan syarikat penerbangan pertama di dunia yang bakal menggunakan sistem yang digelar “real-time, space-based alerting system for flight tracking” yang akan membolehkan sesebuah pesawat terbang dikesan pada bila-bila masa dan dengan maklumat diperbaharui setiap satu minit.

Organisasi Pernerbangan Awam Antarabangsa telah mengeluarkan mandat mengarahkan setiap syarikat penerbangan agar mengesan kedudukan pesawat mereka setiap 15 minit sekali di seluruh dunia menjelang 2018. Malaysia khususnya MAS bagaimanapun mempelopori usaha tersebut dengan mendapatkan bantuan tiga syarikat iaitu FlightAware, Aireon dan SITAONAIR.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI?

Pada tahun 2018 bila sistem ini beroperasi sepenuhnya, MAS akan memperolehi capaian ke rangkaian 66 buah satelit seluruh dunia yang mampu mengesan transponder (unit pengesan kedudukan) yang ada di dalam semua pesawat mereka. Semua pesawat udara mempunyai unit transponder. Menggunakan teknologi yang digelar “automatic dependent surveillance-broadcast” ataupun nama singkatannya ADS-B, MAS berhasrat untuk bertukar daripada sistem berasaskan radar kepada sistem baharu yang mempunyai ketepatan yang tinggi dan lebih boleh diharap.

ADS-B mempunyai dua bahagian yang dipanggil Out dan In. “Out” ialah bahagian pemancar ataupun transmitter yang menggunakan sumber navigasi GPS berintegriti tinggi yang akan memancarkan maklumat seperti identiti pesawat, kedudukan semasa, ketinggian dan kelajuan secara berterusan. Bahagian “In” pula berfungsi menerima setiap informasi dalam semua pesawat, membolehkan para juruterbang memahami dengan lebih mendalam tentang keadaan ruang udara di sekeliling mereka. FAA juga akan melakukan pertukaran sistem daripada radar kepada ADS-B dab semua pesawat dijangkakan akan dilengkapkan dengan sistem atas talian menjelang 1 Januari 2020.

Menurut Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Operasi MAS, sistem ini sudah lama menjadi sasaran dan halatuju komuniti penerbangan. Kini MAS boleh berbangga kerana mereka merupakan syarikat penerbangan pertama di dunia menggunakan sistem data ADS-B sebagai jalan penyelesaian kepada masalah pengesanan pesawat.

Bagaimanapun, menurut analisa Bloomberg, ia bukannya suatu jaminan untuk menemui kembali pesawat MH370 yang mungkin tersasar keluar daripada jangkauan satelit dan kemungkinan sistem pemancar lokasi pesawat yang sudah kehabisan bateri. Satu kemungkinan lagi ialah ianya sengaja dimatikan oleh pihak tertentu. Ia masih kekal menjadi suatu misteri tetapi beberapa petunjuk yang baharu ditemui memberikan harapan yang pesawat tersebut mungkin akan berjaya ditemui.

Nahas tersebut juga membuatkan pihak U.S. National Transportation Safety Board mengeluarkan lapan cadangan isu keselamatan bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berulang. Christopher A. Hart, pemangku pengerusi NTSB berkata, teknologi yang ada sekarang sepatutnya boleh mengelakkan pencarian di dasar laut seluar beribu batu untuk mencari kotak hitam yang sangat berharga. Kehilangan pesawat sepatutnya tidak berlaku di zaman dan masa seperti sekarang.

MAS pula berharap sistem ini mampu memberikan maklumat paling tepat tentang kedudukan pesawat pada setiap masa untuk mengelakkan tragedi daripada berulang.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button