Buletin

MERCEDES-BENZ MALAYSIA CATAT PERTUMBUHAN JUALAN 11% PADA Q1 2017

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) semalam mengumumkan bahawa ia sekali lagi mencatat prestasi jualan memberangsangkan untuk suku pertama (Q1) tahun 2017. 

Pengeluar kenderaan premium dari Jerman itu merekodkan pertumbuhan 11 peratus dengan 2,945 unit, berbanding tempoh sama tahun lalu dan menjadi Q1 terbaik setakat ini. Sekali gus mengekalkan penguasaan pasaran kenderaan premium dengan 2.3 peratus.

“Kejayaan kami dipacu oleh teknologi canggih dan pendekatan yang mendahulukan pelanggan. Ia membolehkan kami memberi pengalaman 360° Mercedes-Benz yang merangkumi produk dan khidmat pelanggan terbaik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr. Claus Weidner.

Menerusi portfolio 50 varian kenderaan yang ditawarkan, MBM dapat menawarkan model yang sesuai untuk sesiapa sahaja. Ia kemudian disokong oleh khidmat pelanggan yang premium dan pembiayaan mudah.

Model limosin pemasangan tempatan (CKD) MBM iaitu Mercedes-Benz C-, E- dan S-Class mencatat jualan 1,820 unit. Mercedes-Benz C-Class mendahului senarai dengan 1,083 unit, sebelum diikuti rapat oleh E-Class dengan  610 units. Model kompak yang merangkumi Mercedes-Benz A-Class, B-Class, GLA dan CLA Class pula merekodkan jualan 434 unit.

Rangkaian model SUV turut menjadi penyumbang yang siginifikan dengan jualan sebanyak 594 unit. Ini merupakan kenaikan sebanyak 247 peratus berbanding Q1 2016. Paling laris ialah Mercedes-Benz GLC dengan 491 unit. Bukan itu sahaja, segmen Mercedes-Benz Dream Cars mencatat jualan 93 unit atau kenaikan 365 peratus.

Selari dengan angka jualan yang memberangsangkan itu, MBM dilihat terus menambah baik aspek selepas jualan di seluruh negara. Pada Q1 2017, rangkaian pengedar MBM telah melakukan servis ke atas 30,629 unit kenderaan.

Sehingga kini, MBM mempunyai 30 pengedar dengan yang terbaru ialah Mercedes-Benz Cycle & Carriage Bintang Cheras Autohaus. Manakala Mercedes-Benz Mofaz Kota Bharu dan Mercedes-Benz Mofaz Kuala Terengganu Autohaus telah dinaik taraf.

Sejak 2003 hingga 2016, MBM telah melabur sebanyak RM900 juta dari segi produksi, jualan dan pengedaran kenderaan. Satu lagi indikator pertumbuhan positif jenama Mercedes-Benz di Malaysia adalah apabila kilangnya di Pekan, Pahang berjaya mengeluarkan 1,977 unit kenderaan pada Q1 2017.

Kilang itu kini mengeluarkan 11 varian seperti Mercedes-Benz C180 Avantgarde, C200 Exclusive, C200 Avantgarde, C250 AMG, E200 Avantgarde, E250 Exclusive, E250 Avantgarde, E350e, Mercedes-Benz  S400h AMG, Mercedes-Benz C350e serta Mercedes-Benz SUV, GLC250 AMG.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button